Wan Rosdy dilantik sebagai Penasihat Khas MPUPK – Anwar

Anwar (dua, kanan) menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Pahang di Pantai Batu Hitam pada Jumaat. Foto Bernama
Anwar (dua, kanan) menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Pahang di Pantai Batu Hitam pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Kebangsaan (MPUPK) bagi membantu memperkasa usahawan bumiputera di seluruh negara.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada sambutan Aidilfitri Madani 2025 peringkat Pahang di Pantai Batu Hitam, Beserah, pada Jumaat.

Menurut Anwar, tugas Wan Rosdy adalah untuk memastikan suara usahawan bumiputera didengar di peringkat nasional, selain menyampaikan keluhan rakyat kepada kerajaan.

“Semangat orang Pahang luar biasa, kita harus tunjukkan sikap hormat-menghormati.

"Kerajaan negeri dan Persekutuan sangat baik (hubungannya) dan gunakan peluang itu. Jawatan ini tiada elaun, kita bagi kemudahan dengan bebas jelajah seluruh negara," katanya.

Anwar bersalaman dengan penduduk yang hadir pada sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Pahang di Pantai Batu Hitam pada Jumaat.
Anwar bersalaman dengan penduduk yang hadir pada sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Pahang di Pantai Batu Hitam pada Jumaat.

Anwar memaklumkan, Wan Rosdy tidak pernah meminta projek untuk kepentingan peribadi, sebaliknya sentiasa membawa isu rakyat ke dalam mesyuarat persekutuan untuk penyelesaian terbaik.

“Dia bawa (isu rakyat) dalam mesyuarat persekutuan, di hadapan KSU (Ketua Setiausaha) dan KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan), supaya Perdana Menteri dan pemimpin kerajaan dapat mendengar serta mencari jalan menyelesaikan masalah rakyat Pahang.

"Inilah tugas kita, mana ada negara selesaikan masalah semua sekali, kita cuba sedaya upaya untuk perbaiki masalah, ada orang kata kita janji tidak tunaikan," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan kerajaan sentiasa berusaha menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi rakyat, termasuk meningkatkan gaji penjawat awam dan menyalurkan bantuan kewangan.

“Setiap bulan, kita menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang memberi manfaat kepada lebih sembilan juta rakyat.

"Jumlah keseluruhan STR setakat ini telah mencecah RM13 bilion,” jelasnya.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh perkembangan ekonomi global, termasuk keputusan terbaru Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengumumkan kenaikan cukai tetapi menangguhkan pelaksanaannya.

"Ada yang naik 50 peratus (Vietnam), Cambodia (30 peratus), Indonesia dan kita 24 peratus. Thailand 30 peratus. Akan ada kesan, nasib baik dia tangguhkan pelaksanaannya.

"Tetapi kita tidak boleh bergantung kepada orang asing. Perpaduan kita harus kuat, kerja kita harus kuat, program harus baik, pelaburan mesti datang, pekerjaan anak-anak mesti terjamin," katanya.

Selain itu, Anwar berkata, rakyat seharusnya berbangga kerana dunia mengiktiraf Malaysia sebagai negara aman dan tidak kucar kacir.

"Kita nak jadi negara Muslim yang baik, nak tolong Gaza, bagaimana nak tolong kalau kita miskin? Papa kedana. Kita boleh tolong kalau kita (negara) ada keupayaan.

"Sebab saya tahu Malaysia ini bersatu kuat, saya tahu ekonomi kita mantap, kalau negeri kita hampir bankrap saya tidak boleh bercakap lagi. Sebab itu saya nak gunakan kesempatan ini untuk esok ke Kelantan, Pulau Pinang untuk menerangkan betul-betul.

"Ada yang kata Terengganu dianaktirikan, saya nak terangkan dana kita bagi kepada Terengganu jauh lebih tinggi semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) perintah," katanya.

Menyentuh isu banjir, Anwar berkata, kerajaan Persekutuan telah menyalurkan bantuan besar kepada negeri yang terjejas, termasuk Pahang dan Kelantan, tanpa mengira perbezaan politik.

“Kita bantu Pahang dan Kelantan dengan kos tertinggi, saya tidak peduli negeri itu diperintah oleh siapa, kerana tugas kita adalah untuk rakyat.

"Jangan terpedaya dengan janji palsu, sebaliknya rakyat perlu mendapatkan fakta sebenar,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!