Ibu, Wan Azizah dua wanita terpenting dalam hidup saya - Anwar

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap dua wanita paling penting dalam hidupnya iaitu ibunya, Allahyarham Che Yan Hamid Hussein dan isteri tercinta, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut Anwar, kedua-dua wanita itu merupakan tulang belakang yang menjadi sumber kekuatannya dalam perjuangan menuntut keadilan dan pembelaan terhadap nasib rakyat.
"Dua wanita terpenting dalam hidup saya ialah ibu, Allahyarham Che Yan Hamid Hussein dan isteri tercinta, Azizah.
"Mereka adalah tulang belakang saya, sumber kekuatan dalam menuntut keadilan dan meneruskan perjuangan demi rakyat," katanya dalam satu kenyataan sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada Sabtu.
Sambutan Hari Wanita Antarabangsa disambut pada tarikh 8 Mac bagi setiap tahun serta diraikan di seluruh dunia termasuk Malaysia sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangan wanita dalam pelbagai bidang.
Bertemakan 'Wanita Beraspirasi Membina Legasi', inisiatif itu juga menjadi platform untuk menuntut hak kesaksamaan gender serta meningkatkan kesedaran terhadap cabaran yang masih dihadapi golongan itu.
Di Malaysia, pelbagai program dan inisiatif telah dilaksanakan bagi memperkasa kedudukan wanita dalam masyarakat, termasuk dalam bidang ekonomi, pendidikan dan politik.
Mengulas lanjut, Anwar turut menegaskan bahawa sambutan tahunan ini merupakan satu penghormatan terhadap keberanian, pengorbanan, serta peranan luar biasa wanita dalam membentuk masyarakat yang lebih adil dan sejahtera.
"Hari ini, kita meraikan keberanian, pengorbanan, dan peranan luar biasa wanita dalam membentuk masyarakat yang lebih adil dan sejahtera.
"Semoga kita terus memperjuangkan hak dan martabat wanita, memastikan mereka diberi ruang dan peluang yang saksama dalam semua aspek kehidupan," katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut meminta semua pihak agar terus menyokong usaha ke arah memperkasakan wanita dan memastikan mereka diberikan hak serta peluang sama adil dalam pembangunan negara.
"Selamat Hari Wanita!" ujar beliau mengakhiri kenyataannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

