Tubuhkan badan bebas, banteras budaya ‘diamkan’ buli

KUALA LUMPUR – Penubuhan satu badan pemantau bebas disaran bagi membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangani isu buli di sekolah secara menyeluruh dan berkesan.
Pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, ia boleh diwujudkan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah, bagi menjadi entiti sokongan yang bertindak khusus dalam menerima aduan serta memantau insiden buli secara bebas.
“Dengan adanya pemantauan atau satu badan bebas, pelajar akan lebih berhati-hati kerana sedar mereka sedang diperhatikan,” katanya.
Beliau mengulas kejadian buli terbaharu membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pulau Pinang yang tular baru-baru ini.
Shahul Hamid berkata, kewujudan badan pemantau bebas mampu memperkukuh saluran aduan, selain membina kesedaran dalam kalangan pelajar bahawa sebarang bentuk buli tidak akan dibiarkan atau disembunyikan.
“Ia boleh menjadi satu bentuk sokongan tambahan kepada usaha membanteras buli di peringkat sekolah,” jelasnya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan berhubung budaya menyorokkan kes buli yang masih berlaku di sesetengah sekolah, sama ada oleh pelajar sendiri atau pentadbiran yang enggan imej institusi tercalar.
“Ada kes yang tidak dilaporkan, ada yang dilindungi dan hanya diketahui selepas kes itu terbongkar melalui rakaman tular atau laporan media,” katanya,
Dalam pada itu, beliau juga menggesa supaya prosedur operasi standard (SOP aktiviti suai kenal pelajar baharu disemak semula kerana berpotensi membuka ruang kepada pembentukan budaya dominasi dan buli dalam kalangan pelajar senior.
“Aktiviti suai kenal perlu diubah suai agar pelajar baharu berasa selesa dan dihormati. Jangan biarkan ia menjadi ruang untuk pelajar senior tunjuk kuasa,” tegasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa unsur dendam, ketandusan kasih sayang serta keinginan untuk ‘naik nama’ menjadi antara punca utama pelajar terlibat dengan kes buli.
“Pelajar yang tidak dapat perhatian di rumah, masuk ke sekolah dan cuba buktikan kuasa. Maka berlakulah buli secara senyap, di kawasan tiada guru,” katanya.
Tambahnya, tanpa campur tangan struktur yang jelas dan pemantauan luar, kes buli akan terus berulang meskipun pelbagai amaran dan tindakan disiplin telah dikenakan sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

