Didenda RM6,000 simpan 9 ekor burung bayan serindit
SEREMBAN – Padah menyimpan hidupan dilindungi, iaitu sembilan burung bayan serindit secara haram, seorang lelaki didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
Hakim Mohamad Kamil Nizam menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Hyedeir Abd Majid, 49, selepas dia mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan.
Mahkamah turut mengarahkan hukuman penjara selama sebulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut, selain mengarahkan sangkar dirampas dilupuskan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Mengikut pertuduhan, Hyedeir didapati menyimpan sembilan burung bayan serindit (Loriculus galgulus), iaitu hidupan liar dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), tanpa suatu lesen.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 3.45 petang di sebuah premis kediaman di Taman Desa Orkid, di sini, pada 5 September 2019.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 60(1)(a) Akta 716 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 60(1) akta yang sama.
Jika disabitkan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan tidak bekerja akibat masalah kesihatan dan bergantung kepada isterinya.
Lelaki itu turut meminta maaf kepada mahkamah dan memaklumkan tidak mengetahui spesies berkenaan adalah haiwan dilindungi dan menjadi kesalahan untuk menyimpannya.
Pegawai Pendakwa Perhilitan, Ain Nur Shainaz Abdullah, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.
Katanya, alasan tertuduh membela burung berkenaan disebabkan minat dan hobi serta tidak tahu ia satu kesalahan tidak boleh diterima.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

