Kebakaran saluran gas: PM arah MITI, Kesuma dapatkan maklumat syarikat, pekerja terjejas

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) untuk memberikan maklumat penuh mengenai syarikat-syarikat dan pekerja yang terjejas dengan letupan paip gas di Putra Heights, minggu lalu.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan Anwar menerusi mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.
"Jadi dalam hal ini pihak MITI dan Kesuma akan berurusan terus dengan syarikat terlibat dan kita akan teliti serta disusuli dengan beberapa tindakan," katanya menerusi sidang akhbar pada Rabu.
Ujarnya, kerajaan telah dimaklumkan mengenai kekangan dihadapi sejumlah syarikat dan kilang yang terkesan akibat penutupan saluran gas.
"Petang ini, Suruhanjaya Tenaga (ST) bertemu dengan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) untuk membincangkan isu ini," jelas Fahmi.
Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas pada jam 8.10 pagi Selasa lepas, menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kejadian itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar manakala sebanyak 218 rumah tidak terjejas.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menjelaskan kerajaan mengalu-alukan sumbangan daripada syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan menawarkan bantuan serta sokongan pemulihan kepada mangsa-mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.
Antara bantuan dan sokongan pemulihan yang diberikan adalah pengecualian bayaran perkhidmatan prabayar dan pascabayar bagi tempoh tertentu, penggantian peralatan dan penukaran kad sim secara percuma kepada pelanggan yang terjejas serta perkhidmatan wi-fi 5G secara percuma di pusat pemindahan sementara (PPS).
"Sumbangan ini membuktikan keprihatinan syarikat telco terhadap kesejahteraan pelanggan yang terkesan, selari dengan nilai ihsan dalam Kerajaan Madani yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

