SKMM pantau kualiti komunikasi di Putra Heights

SUBANG JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil langkah proaktif memantau kualiti perkhidmatan komunikasi di kawasan Putra Heights dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan insiden kebakaran saluran gas yang berlaku pada pagi Selasa, 1 April lalu.
Menurut kenyataan SKMM, kejadian tersebut telah menjejaskan sembilan struktur telekomunikasi melibatkan satu milik CelcomDigi, dua milik Maxis dan enam milik U Mobile.
“Kesemua struktur berkenaan mengalami gangguan bekalan elektrik. Namun, hasil tindakan pemulihan segera oleh syarikat penyedia perkhidmatan (telco), semua perkhidmatan berjaya dipulihkan sepenuhnya pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
SKMM memaklumkan, langkah tambahan turut diambil bagi memastikan perkhidmatan internet di PPS Masjid Putra Heights tidak terjejas.
“Pihak telco telah mengoptimumkan struktur sedia ada bagi memenuhi peningkatan keperluan perkhidmatan di PPS. Sebuah unit Kenderaan Mudah Alih Selular (Mobile Cellular Vehicle – MCV) turut digerakkan ke lokasi bagi meningkatkan kualiti liputan di kawasan berkenaan,” jelas kenyataan itu.
Selain itu, Telekom Malaysia (TM) turut menyediakan kemudahan WiFi percuma di dua lokasi PPS sebagai sokongan tambahan kepada mangsa yang berlindung.
Dalam pada itu, pihak telco juga sedang giat berhubung dengan pelanggan masing-masing yang terkesan bagi menawarkan pelbagai bentuk bantuan.
“Antaranya termasuk penggantian kad SIM dan peranti yang rosak, penyelarasan bil serta pembukaan kaunter perkhidmatan khas di lokasi PPS bagi memudahkan urusan pelanggan,” tambah kenyataan itu.
SKMM menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau secara rapi dan bekerjasama dengan semua agensi terlibat bagi memastikan kualiti perkhidmatan komunikasi kekal berada pada tahap terbaik, khususnya kepada mangsa insiden yang kini ditempatkan di PPS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

