APMM rampas 84 bubu naga di perairan Kuala Perlis

Anggota APMM Zon Kuala Perlis menaikkan bubu naga yang dirampas.
Anggota APMM Zon Kuala Perlis menaikkan bubu naga yang dirampas.
A
A
A

KUALA PERLIS - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Perlis merampas sebanyak 84 bubu naga bernilai RM6,720 di perairan Kuala Perlis kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata, kesemua bubu naga yang dijual kira-kira RM80 seunit itu dipasang di lapan lokasi berbeza iaitu sekitar jarak 0.5 hingga 1.0 batu nautika barat Kuala Perlis.

Katanya, bot peronda yang sedang melakukan Operasi Aman di perairan Kuala Perlis telah mengesan pelampung berwarna putih yang dipasang sebagai penanda kepada bubu naga yang ditinggalkan individu tidak bertanggungjawab di perairan berkenaan.

"Maritim Malaysia memandang serius walaupun telah banyak rampasan bubu naga telah dilakukan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nurulazme, mata pukat bubu naga yang kecil mengakibatkan anak-anak ikan dan udang mudah masuk ke dalam perangkap jaring terbabit.

"Tindakan tidak bertanggungjawab itu mampu menjejaskan habitat marin serta mengakibatkan hasil laut semakin berkurangan," katanya.

"Sekiranya pemilik bubu naga tersebut dapat ditahan, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah tidak dibenarkan.

"Kesemua bubu naga tersebut dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nurulazme berkata, pihak Maritim akan terus membuat rondaan dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa untuk mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim.

"Orang ramai juga diminta memberikan kerjasama untuk segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

"Sebarang laporan boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162,” katanya.