RM100 juta untuk agensi penguatkuasaan - Anwar

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk diagihkan kepada semua agensi penguatkuasaan tahun ini.

Berucap di hadapan 2,400 pegawai dan anggota dan agensi penguatkuasaan, keselamatan dan ketenteraman awam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan tersebut adalah bagi tujuan perbelanjaan terutamanya mengukuhkan kelengkapan serta menyokong operasi penguatkuasaan.

"Selewat-lewatnya peruntukan ini harus sampai pada Jumaat minggu hadapan," katanya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Khamis.

Menurutnya, kerajaan memandang serius masalah dan ketidakselesaan penguatkuasaan di lapangan.

"Setelah beberapa bulan melihat keadaan di lapangan, ada beberapa hal yang harus diberi pertimbangan contohnya sempadan, perumahan, isu keselamatan pegawai di sempadan.

"Saya hendak bagi keyakinan janganlah fikir sesekali perkara ini tidak dapat perhatian," katanya.

Tegas beliau, peranan agensi penguat kuasa adalah sangat penting dalam memastikan pelaksanaan undang-undang berada pada landasan betul.

"Aspek integriti dan ketelusan dalam melaksanakan undang-undang juga merupakan elemen penting bagi memastikan negara terus berdaya saing serta ketirisan dapat ditangani.

"Selain itu, insentif pakaian seragam bagi kumpulan pengurusan dan profesional di enam agensi ditambah baik melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM5,502,780 setahun," katanya.

Agensi itu ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Turut diumumkan kelulusan segera peruntukan RM4 juta bagi keperluan kenderaan dan kelengkapan komputer pasukan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam pada itu, Anwar turut memberi komitmen untuk mengkaji keseluruhan skim perkhidmatan persaraan penjawat awam dalam satu jawatankuasa khas sekretariat yang akan dipengerusikannya minggu depan.

"Setelah 10 tahun belum ada pun jawatankuasa untuk mengkaji semua sistem persaraan penjawat awam. Insya-ALLAH kita akan lihat keupayaan kewangan kita dan bagaimana ia dapat dipertingkatkan secara berperingkat," katanya.

Tambah beliau walaupun hutang negara meningkat kepada RM1.5 trilion ia bukan alasan untuk tidak mempertingkatkannya.

"Saya tak mahu tangguh. Setiap tahun ada kenaikan setimpal dengan kerja mereka," ujarnya.