China ikrar 'lawan' Trump

Hubungan antara kedua-dua negara ekonomi terbesar di dunia ini semakin keruh.
Hubungan antara kedua-dua negara ekonomi terbesar di dunia ini semakin keruh.
A
A
A

BEIJING - China pada Selasa berikrar enggan tunduk dengan 'peras ugut' dibuat Amerika Syarikat (AS) dan akan 'melawan balik' ancaman Presiden Donald Trump yang mahu mengenakan tarif tambahan ke atas negara ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

“Tindakan Washington untuk menaikkan lagi cukai ke atas Beijing adalah satu kesilapan besar. Ia jelas mempamerkan sifat 'pemerasan' mereka.

“Jika AS masih berkeras, kami akan menentang secara habis-habisan demi untuk melindungi hak dan kepentingan kami,” ujar Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyataan merujuk kepada total levi yang bakal dikenakan ke atas barangan eksport mereka yang mencecah lebih 100 peratus pada tahun ini.

Difahamkan, AS sekali lagi menyasarkan negara Asia Timur itu selepas Beijing mahu bertindak balas mahu memperkenalkan duti timbal balik ke atas Washington.

Trump dengan angkuh turut menolak sebarang rundingan bersama 'seteru perdagangan' AS tersebut.

Pakar ekonomi bagaimanapun mempersoalkan sama ada Rumah Putih akan mendapat keuntungan besar dengan kenaikan cukai tersebut.

“China sudah dikenakan kadar tarif tinggi melebihi 60 peratus. Apa yang boleh Beijing lakukan adalah menghentikan pembelian produk pertanian AS, melaksanakan cukai timbal balik dan mengembangkan kawalan eksport terhadap kesemua unsur dalam jadual berkala,” kata pakar ekonomi kanan di Unit Risikan Ekonomi, Xu Tianchen.

Ketika ini, saham Asia dan Eropah menjunam selepas kebanyakan pelabur bimbang dengan perang tarif yang boleh mencetuskan lonjakan harga dan permintaan yang semakin merosot yang berpotensi menyebabkan kemelesetan global.

Saham AS pula stabil seketika selepas terdapat laporan mendakwa pentadbiran Trump mempertimbangkan langkah penangguhan ke atas pelaksanaan tarif tersebut selama 90 hari, namun Rumah Putih mengesahkan ia sebagai berita palsu. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Info:

>Trump mengancam untuk mengenakan cukai tambahan berjumlah 50 peratus ke atas import China berkuat kuasa pada Rabu jika Beijing tidak menarik balik tarif sebanyak 34 peratus yang diperkenalkan Beijing pada minggu lalu.

>Secara purata, levi yang diumumkan AS ke atas barangan China sudah pun mencecah 76 peratus. Sebelum ini, Pentadbiran Trump mengenakan cukai sebanyak 34 peratus dan tarif tambahan berjumlah 20 peratus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!