Gangguan kera liar rosakkan persiapan raya

Siti Nora Akma menunjukkan bahagian rumahnya yang diceroboh kera liar walaupun pintu ditutup.
Siti Nora Akma menunjukkan bahagian rumahnya yang diceroboh kera liar walaupun pintu ditutup.
A
A
A

SETIU – Kemeriahan Aidilfitri bertukar menjadi detik mencabar buat seorang peniaga di Kampung Bukit Pelong di sini, apabila terpaksa berdepan gangguan kera liar yang menceroboh serta merosakkan barangan di rumahnya.

Siti Nora Akma Mohd Ghazali, 36, berkata, insiden menyedihkan itu berlaku pada petang 1 Syawal selepas dia sekeluarga pulang dari menziarahi sanak saudara.

Menurutnya, mereka terkejut apabila mendapati rumah dalam keadaan berselerak dan persiapan raya musnah.

“Kami baru balik beraya, buka pintu rumah terus terkejut. Ruang tamu bersepah, makanan habis berselerak, hiasan raya rosak. Memang luluh hati tengok keadaan rumah macam itu.

“Segala usaha menyiapkan rumah untuk sambutan Aidilfitri, habis begitu sahaja gara-gara ‘tetamu tidak diundang’ ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Bukit Pelong.

Antara barangan yang rosak dan bersepah selepas kediamannya diserang kera liar pada petang 1 Syawal lalu.
Antara barangan yang rosak dan bersepah selepas kediamannya diserang kera liar pada petang 1 Syawal lalu.

Tambahnya lagi, gangguan daripada kumpulan kera liar itu bukanlah perkara baharu, namun kejadian kali ini benar-benar menjejaskan emosi mereka sekeluarga.

“Sepanjang bulan ini sahaja, empat kali rumah dimasuki kera. Mereka masuk ikut ruang angin dan tingkap, rosakkan peralatan dapur, lampu, dan bawa lari beras serta makanan kering,” katanya yang menjalankan perniagaan secara dalam talian.

Siti Nora Akma berkata, haiwan liar itu semakin berani menceroboh walaupun rumah berpenghuni, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Fairul Aznizam Zahari, 39, berkata, pelbagai usaha telah dilakukan bagi menghalang haiwan tersebut daripada memasuki rumah, namun masih tidak berhasil.

Katanya, penduduk kampung berharap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) segera mengambil tindakan sebelum berlaku kejadian lebih buruk.

“Setiap kali keluar rumah, makanan perlu disorok dan bilik dikunci. Kera ini bijak, tetap dapat cari jalan untuk masuk.

“Haiwan ini juga bertindak mengejar orang kampung dan sering dilihat bermain berhampiran taman asuhan kanak-kanak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!