Peniaga bazar Aidilfitri kecewa jualan hambar, TikTok jadi pilihan pembeli

Bazar Aidilfitri di Tingkat 3, Komtar kini hanya mempunyai tujuh gerai sahaja berbanding 30 gerai pada tahun lalu. Gambar kecil: Ibrahim Mohamad dan Pelmi Saya
Bazar Aidilfitri di Tingkat 3, Komtar kini hanya mempunyai tujuh gerai sahaja berbanding 30 gerai pada tahun lalu. Gambar kecil: Ibrahim Mohamad dan Pelmi Saya
A
A
A

GEORGE TOWN – Peniaga Bazar Aidilfitri di pekarangan Tingkat 3, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) meluahkan rasa kecewa apabila jualan mereka hambar tahun ini, sama seperti tahun lalu.

Rata-rata peniaga mendakwa penurunan jualan disebabkan kuasa beli rakyat yang semakin merosot serta kecenderungan pembeli beralih ke platform dalam talian seperti TikTok.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ramai peniaga mengeluh kerana kurang pelanggan, malah ada yang mendakwa jualan mereka merosot sehingga 50 peratus. Lebih mengecewakan, jumlah gerai di kawasan tersebut berkurang drastik daripada 30 pada tahun lalu kepada hanya tujuh tahun ini.

Seorang peniaga pakaian, Aliff Amka, 63, berkata, jualannya menurun lebih 50 peratus apabila hanya mampu menjual satu atau dua pasang baju Melayu sehari.

Aliff menunjukkan jualannya yang tidak mendapat sambutan daripada pembeli di Bazar Aidilfitri di Tingkat 3, Komtar.
Aliff menunjukkan jualannya yang tidak mendapat sambutan daripada pembeli di Bazar Aidilfitri di Tingkat 3, Komtar.

"Saya sudah berniaga di sini 20 tahun, tetapi tahun ini paling teruk. Semua baju ini saya jahit sendiri kerana tidak mampu mengupah pekerja. Kalau jualan begini, bagaimana saya nak bayar gaji pekerja?

"Kadang-kadang terjual dua atau tiga pasang, syukur. Tapi ada hari, langsung tiada jualan. Memang parah, tapi nak buat macam mana?" katanya.

Beliau juga tidak akan menambah stok baharu dan hanya menjual baju Melayu serta sampin yang sedia ada.

"Sekarang ramai beli secara dalam talian, terutamanya di TikTok. Mereka boleh dapat harga lebih murah dan boleh bayar ansuran. Itu yang membuatkan peniaga macam kami semakin tersepit," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Senario sama turut dikongsi peniaga kuih raya, Ibrahim Mohamad, 70, yang mendakwa jualan biskutnya merosot 50 hingga 60 peratus.

"Dulu pelanggan beli tiga atau empat balang, sekarang ramai beli satu atau dua sahaja. Pendapatan saya hanya sekitar RM100 hingga RM150 sehari sejak hari pertama Ramadan.

"Saya berniaga di sini lebih 20 tahun, tetapi penjualan semakin merosot sejak PKP dulu. Kuih saya selalu tak habis sehingga malam raya. Saya rasa tahun ini pun akan jadi perkara sama," keluhnya.

Peniaga kain batik dan telekung, Pelmi Saya, 51, berkata walaupun jualannya lebih baik berbanding tahun lalu, keuntungan masih tipis.

"Sebelum ini sehari boleh dapat RM1,000 hingga RM2,000. Sekarang nak dapat modal balik pun susah. Pembeli lebih suka beli di TikTok. Nak

Selain di bazar, peniaga gerai pakaian sedia ada di lokasi sama turut mengalami nasib serupa.

Menurut Ismail Ibrahim, 68, platform TikTok memberi kesan besar terhadap perniagaan harian sepertinya.

"Tudung bawal saya jual RM10, tetapi di TikTok orang boleh beli dengan harga RM4 atau RM5. Sudah tentu pembeli pilih yang lebih murah.

"Sewa tapak RM4,000 sebulan kena bayar, gaji pekerja pun kena bayar, untung tipis. Macam mana nak hidup? Duit untung hanya cukup untuk bayar sewa dan gaji sahaja," katanya.

Peniaga berharap jualan meningkat dalam tempoh dua minggu terakhir Ramadan, namun ramai yang pasrah dengan cabaran perniagaan dalam era digital.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!