JUHAM pertahan Nushi, Islam hormat budaya tanpa kompromi akidah

SHAH ALAM – Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Pas Selangor menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz menghadiri sebuah program di rumah ibadat bukan Islam selaras dengan prinsip Islam yang menekankan keharmonian dan keadilan dalam masyarakat majmuk.
Menurut Pengarah JUHAM, Yusfarizal Yusoff, Islam sebagai agama persekutuan tidak menghalang umatnya untuk menghormati adat dan budaya kaum lain, selagi ia tidak melibatkan penyertaan dalam sebarang ritual atau simbolik keagamaan.
Ujarnya, lawatan ADUN Semenyih ke rumah ibadat tersebut adalah atas undangan masyarakat setempat dan tidak melibatkan sebarang bentuk kompromi terhadap akidah.
“Beliau hanya menerima kalungan bunga dan selendang ‘VIP’ sebagai simbol penghormatan masyarakat. Ini bukan perkara baharu, malah telah diamalkan oleh tokoh-tokoh besar Pas sebelum ini seperti Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang,” jelas Yusfarizal dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau turut menegaskan bahawa kekeliruan yang timbul hasil daripada tindakan tersebut harus dijadikan peluang untuk memperjelaskan pendirian Islam yang menghormati hak agama lain dan budaya masyarakat pelbagai kaum, tanpa terjebak dalam pluralisme atau liberalisme.
Mengulas isu kritikan terhadap ADUN Semenyih yang dibandingkan dengan beberapa gambar pemimpin lain termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat memakai ‘calitan dahi’, Yusfarizal berkata, perlu ada garis pemisah yang jelas antara budaya dan ritual agama.
“Sekiranya ia melibatkan simbol keagamaan seperti pottu atau bindu yang mempunyai unsur ibadah Hindu, maka ia sememangnya tidak wajar bagi seorang Muslim,” ujarnya.
Beliau juga menyentuh kenyataan yang mempersoalkan waktu lawatan tersebut, namun menyifatkan ia sebenarnya masa yang sesuai untuk menjernihkan salah faham, terutama dalam suasana isu kuil di Jalan Masjid India sedang hangat dibincangkan.
Yusfarizal berkata, prinsip Pas tetap konsisten dalam memperjuangkan Islam tanpa kompromi terhadap akidah, namun tetap menyantuni semua kaum secara harmoni.
“Pas tidak bersikap apologetik dalam mempertahankan pendirian. Teguran yang diberikan adalah berdasarkan prinsip Islam, bukan semata-mata berkepentingan politik,” ujarnya.
Beliau turut menyokong cadangan agar pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menetapkan garis panduan rasmi berkaitan penglibatan pemimpin Islam dalam majlis-majlis antara agama agar kekeliruan seperti ini dapat dielakkan pada masa hadapan.
“Masyarakat perlu menilai dengan neraca yang adil. Jangan ukur tindakan pemimpin dengan pendirian politik. Ukurlah dengan al-Quran dan sunnah,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

