Isu Palestin: Pemuda Pas Selangor sokong penuh fatwa Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia

Suara Malaysia bersama kekuatan umat Islam dunia mampu mengubah naratif dan membebaskan Palestin. (Gambar kecil: Mohamed Sukri)
Suara Malaysia bersama kekuatan umat Islam dunia mampu mengubah naratif dan membebaskan Palestin. (Gambar kecil: Mohamed Sukri)
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menyatakan sokongan penuh terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Lajnah Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia berkaitan pencerobohan berterusan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin khususnya di Gaza dan al-Quds.

Ketua Pemudanya, Mohamed Sukri Omar menegaskan fatwa yang diumumkan oleh Syeikh Dr Ali Al-Qaradaghi itu menuntut tindakan segera bukan sekadar ucapan simpati semata-mata.

"Fatwa ini bukan retorik tetapi arahan syarak yang jelas dan menyeru umat Islam mengambil tindakan dalam pelbagai bentuk termasuk sokongan ketenteraan, kewangan dan politik terhadap perjuangan rakyat Palestin," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau memberitahu, fatwa itu menggariskan lapan ketetapan utama antaranya mewajibkan jihad bersenjata bagi setiap Muslim yang mampu, campur tangan ketenteraan oleh negara-negara Islam dan penghentian segera penyaluran minyak dan gas terhadap entiti Zionis.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda Pas Selangor mencadangkan beberapa langkah segera yang boleh diambil oleh kerajaan Malaysia termasuk menyatakan sokongan rasmi terhadap fatwa tersebut.

"Antara langkah itu termasuk menggantung kerjasama dengan entiti berkaitan Zionis serta menerajui tekanan diplomatik melalui Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),

"Bagi rakyat Malaysia pula, tindakan seperti boikot barangan yang menyokong Zionis, sumbangan berterusan melalui jihad kewangan dan desakan kepada wakil rakyat agar menyuarakan isu Palestin di peringkat Parlimen turut digariskan.

“Kita bukan negara lemah dan suara Malaysia bersama kekuatan umat Islam dunia mampu mengubah naratif dan membebaskan Palestin," tambah beliau.

Beliau turut menyatakan kesediaan Pemuda Pas Selangor untuk berada di barisan hadapan dalam sebarang bentuk tindakan solidariti terhadap Palestin sama ada di jalanan, medan diplomasi mahu pun dalam aspek pendidikan dan kewangan.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tiba masanya umat Islam bertindak dengan iman, akal dan keberanian demi keadilan dan pembebasan bumi Palestin," tegas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!