Magis tangan Taugeh hasil lukisan karikatur

Taugeh muncul juara menerusi tema 'Bagan' semasa menyertai Wall Art Competition pada 2017.
Taugeh muncul juara menerusi tema 'Bagan' semasa menyertai Wall Art Competition pada 2017.
A
A
A

SABAK BERNAM - Nama ‘Taugeh’ tidak asing lagi dalam dunia kartun tanah air, apatah lagi sentuhan magis ‘tangannya’ terus mendapat permintaan tinggi.

Penutupan penerbitan majalah kartun tidak pernah mematahkan semangat Taugeh untuk terus menjual hasil karya menerusi bakat dimiliki.

Taugeh atau nama sebenarnya, Ruslan Ayob, 46, tidak toleh ke belakang sebaliknya terus menjadikan hobi melukis karikatur sebagai pendapatan tambahan.

Meskipun sibuk mengendalikan sebuah kedai makan Orang-Orang Cafe di Parit 3 Timur di sini, Taugeh cuba mencari masa terluang mencurah bakatnya di atas papan lapis dan kertas.

Malah, Taugeh juga bertuah kerana hasil lukisan karikatur bersaiz gergasi memaparkan karikatur Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah itu ditandatangani baginda ketika berangkat menikmati santapan malam di kafe terbabit.

Taugeh menghasilkan karikatur bekas Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Taugeh menghasilkan karikatur bekas Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sehingga kini, karikatur bersaiz gergasi yang diletakkan di ruang legar kedai makannya itu terus menjadi tumpuan pelanggan untuk merakam gambar kenangan.

Menurut Taugeh, terdapat pelanggan yang singgah di kedai makannya yang tertarik dengan lukisan karikatur turut membuat tempahan.

Artikel Berkaitan:

“Sejak karikatur bersaiz gergasi gambar Raja Muda Selangor diletakkan di ruang legar kedai makan ini, saya banyak menerima tempahan pelanggan.

“Biasanya harga bergantung kepada saiz dan karikatur yang diminta pelanggan sama ada mereka inginkan papan lapis atau kertas.

“Biasanya saya menerima tempahan daripada kalangan individu, agensi kerajaan, syarikat korporat, sekolah dan peniaga.

“Malah, lukisan karikatur ini semakin meluas apabila dijadikan sebagai cenderahati kepada pihak perasmi majlis dan menjadi simbolik perasmian sesuatu acara,” katanya.

Menurut Taugeh, dia percaya hasil lukisan tangan mempunyai peminat yang tersendiri meskipun berdepan saingan dengan penghasilan lukisan karikatur digital.

“Pen marker dan kertas putih saya anggap seperti rakan karib yang akan saya bawa ke mana-mana sahaja kerana rasa ketagih jika tidak dapat melukis walaupun sekadar lakaran ringkas.

“Saya gembira dapat melukis kerana ia umpama terapi yang mampu menenangkan jiwa,” katanya.

Taugeh bergambar bersama seorang pelanggan yang menempah lukisan karikatur.
Taugeh bergambar bersama seorang pelanggan yang menempah lukisan karikatur.

Katanya, hasil lukisan karikatur itu juga mampu menjana pendapatan tambahan melebihi RM3,000 sebulan.

“Sebenarnya jika bakat melukis yang ada ini kita ketengahkan, tidak mustahil ia mampu dijual kerana mempunyai nilai tinggi,” katanya.

Selain itu, katanya, dia sedang dalam persiapan menyertai Wall Art Competition yang dijadualkan berlangsung April ini.

Katanya, dia menyertai pertandingan itu pada dua edisi lalu dan muncul pemenang pertama pada 2017 dan 2018.

“Tahun lepas (2019) pertandingan ini tidak dijalankan dan saya berharap untuk mengekalkan kejuaraan pada saingan tahun ini,” katanya.