'DUN Hulu Bernam bukan milik Amanah' - Rosni

Pada Isnin, Izham mengesahkan kerusi Hulu Bernam akan ditandingi Amanah. (Gambar kecil: Rosni Sohar)
Pada Isnin, Izham mengesahkan kerusi Hulu Bernam akan ditandingi Amanah. (Gambar kecil: Rosni Sohar)
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam bukan milik Parti Amanah Negara (Amanah) tetapi milik Barisan Nasional (BN) sebab kita menang, tegas Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar.

Rosni yang juga penyandang kerusi DUN Hulu Bernam berkata, Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim tidak wajar mendahului keputusan pimpinan dengan mengumumkan parti mereka bertanding di situ.

"BN menang di DUN Hulu Bernam, sebab kita menang melainkan kita kalah dan Izham kena tahulah perkara ini, takkan dia ketepikan perkara yang benar, perkara nyata dan jelas.

"Jangan bercakap mengatasi keputusan pimpinan teratas, kita dahulu buat andaian, saya tidak setuju," katanya mengulas kenyataan Izham sebelum ini yang memaklumkan DUN Hulu Bernam milik Amanah.

Pada Isnin, Izham mengesahkan kerusi Hulu Bernam akan ditandingi parti itu yang bernaung di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH).

Izham berkata, Amanah akan bertanding sembilan kerusi di Selangor termasuk Hulu Bernam pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos depan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat di peringkat tertinggi sementara kerusi DUN Jeram akan diambil alih oleh BN.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerusi DUN Hulu Bernam dimenangi Rosni yang mewakili BN dengan majoriti 20 undi.

Rosni yang mendapat 8,164 undi menewaskan calon PKR, Amran Sakir yang memperoleh 8,144 undi dan calon Pas, Salleh Ri yang meraih 2,554 undi.

Menurut Rosni, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan yang dibuat secara sesuka hati kerana sepatutnya ia diumumkan di peringkat atasan yang membuat keputusan.

"Baik kita tunggu sahaja (keputusan) sebab saya pun tidak ada masalah, saya hanya menunggu keputusan itu kerana mungkin ada sebab tertentu mereka (pimpinan) membuat keputusan sedemikian.

"Kita sepatutnya membiar keputusan itu dibuat oleh pihak menteri besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor dan Izham tidak boleh buat kenyataan seperti itu," katanya.

Tambah Rosni, tindakan Izham mendahului keputusan pemimpin tertinggi juga menyebabkan timbul banyak persoalan kepada pengundi BN dan persoalan itu tidak dapat dijawab olehnya.