Bermula dengan 'makang', Barak kini fasih dialek Terengganu

Gambar kenangan Mubarak (kiri) bersama rakannya, Allahyarham Mohd Kasyaf yang meninggal dunia akibat nahas jalan raya.
Gambar kenangan Mubarak (kiri) bersama rakannya, Allahyarham Mohd Kasyaf yang meninggal dunia akibat nahas jalan raya.
A
A
A

KUALA NERUS - Bermula dengan belajar menyebut perkataan ‘makang' (makan), seorang pemuda warga Nigeria mula menguasai dialek Terengganu sehingga pertuturannya saling tidak tumpah seperti anak jati negeri itu.

Mubarak Olohuntogun Mohammed Muneer Deen Olodo Al-Shafi’i, 20, atau lebih dikenali sebagai Barak, mencuri perhatian ramai apabila videonya yang bertutur dalam dialek Terengganu tular di media sosial.

Dilahirkan di Mesir dan membesar di Kuala Lumpur, Barak mengakui pada mulanya dia tidak memahami bahasa Melayu kerana mengikuti persekolahan antarabangsa yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Namun, kehidupannya berubah selepas keluarganya berpindah ke Terengganu ketika dia berusia 10 tahun, setelah bapanya menyambung pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Mubarak (dua dari kanan) bersama rakannya, Mohammad Al Amin Othman (kiri), Luqman Al Hakim Othman (dua dari kiri) dan Azim Hafizie Azmi.
Mubarak (dua dari kanan) bersama rakannya, Mohammad Al Amin Othman (kiri), Luqman Al Hakim Othman (dua dari kiri) dan Azim Hafizie Azmi.

"Saya sedih masa tu sebab tak faham langsung bahasa (dialek Terengganu) yang digunakan. Tapi ada seorang rakan sekelas, Mohd Kasyaf, sudi berkawan dan dia ajar saya perkataan pertama iaitu ‘makang’.

"Lepas tu perkataan 'follow' dia dan ketika dia ajak saya balik bersama-sama kami banyak berbual dalam dialek Terengganu.

"Dari situ saya mula belajar satu demi satu dialek Terengganu dan dalam masa setahun lebih, bila saya masuk umur 12 tahun, saya mula fasih cakap Terengganu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Ahad.

Bagaimanapun Barak berkata, rakannya itu telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika mereka berada di Tingkatan Tiga.

Artikel Berkaitan:

"Sedih memang sedih sebab Mohd Kasyaf kawan rapat saya. Kami berkawan sejak di sekolah rendah hingga masuk sekolah menengah.

"Saya tak akan lupa pada arwah kerana selain rakan-rakan lain dan guru, dialah yang mula berkawan dengan saya, bercakap dengan saya sehingga membuatkan saya tertarik untuk bertutur dialek Terengganu," luahnya.

Kongsi Barak, pada mulanya dia enggan berpindah ke Terengganu kerana lebih selesa tinggal di Kuala Lumpur bersama ibu dan adik-beradiknya.

Namun, setelah akur dengan keputusan bapanya, dia menyambung persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak dan mula membiasakan diri dengan persekitaran baharu.

"Setakat ini selain dialek Terengganu, saya dapat bertutur dalam bahasa Inggeris dan ia merupakan bahasa pertuturan di rumah.

"Sebenarnya, bahasa Nigeria saya tahu sikit-sikit sahaja walaupun berasal dari sana. Selain itu saya tahu bercakap bahasa Indonesia dan bahasa Arab," katanya yang menggemari hidangan nasi dagang dan nasi kerabu.

Selepas tular di media sosial, akaun TikTok miliknya, @mubarak_mung kini mempunyai lebih 26,500 pengikut.

Platform itu menjadi medium untuknya berkongsi kisah dan berinteraksi dengan orang ramai terutama mengenai budaya Terengganu.

Ujar Barak, dia berharap agar perkongsiannya itu dapat membuka mata orang ramai terhadap keindahan Terengganu, bukan sahaja dari segi bahasa tetapi juga budaya serta masyarakatnya yang mesra dan baik hati.

"Bila dah ramai kawan kat sini nak kuasai pertuturan dialek Terengganu tu jadi lebih mudah. Cuma dalam keluarga, saya seorang sahaja fasih cakap Terengganu, adik-beradik lain termasuk emak dan ayah masih belum fasih.

"Pada saya, loghat Ganu (Terengganu) ni unik dan seronok. Kalau ada kawan yang tolong dan selalu berbual, senang je nak faham," katanya yang kini menunggu keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!