[VIDEO] Seni kartun hidupkan lorong belakang Mahkota Square

A
A
A

KUANTAN - Jika sebelum ini kawasan belakang bangunan sering dikaitkan dengan suasana suram dan tidak menarik, kini sudut di Mahkota Square berubah wajah menjadi sebuah galeri seni terbuka penuh warna-warni dan bernostalgia yang dikenali sebagai Lorong Kartun.

Woren76 (kiri) dan Munif menyiapkan mural kartun. Foto Sinar Harian.
Woren76 (kiri) dan Munif menyiapkan mural kartun. Foto Sinar Harian.

Projek yang dimulakan awal tahun ini oleh Kelab Kartunis Pahang dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menampilkan mural kartun dan doodle sebagai elemen utama, menjadikan satu-satunya seni jalanan seumpamanya di Kuantan.

Sepanjang 110 meter, dinding bangunan dari Jalan Pasar hingga ke hujung Lorong Lebai Ali dihiasi karakter unik yang diinspirasikan daripada budaya, sejarah dan identiti negeri Pahang.

Mural kartun dengan karakter unik yang diinspirasikan daripada budaya, sejarah dan identiti negeri Pahang.
Mural kartun dengan karakter unik yang diinspirasikan daripada budaya, sejarah dan identiti negeri Pahang.

Kartunis Iszarizal Ismail, 49, atau lebih dikenali sebagai Woren 76, berkata, pemilihan konsep mural kartun ini dilakukan hasil perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengangkat seni kartun sebagai satu bentuk seni bernilai.

Menurutnya, inspirasi lorong ini turut diambil daripada beberapa lokasi lain di Malaysia, termasuk Lorong Kartun di Tapah, Perak, dengan harapan ia menjadi tarikan pelancongan baharu di Kuantan.

"Kita nampak seni kartun apabila diterapkan dalam mural, ia menjadi sesuatu yang menarik dan berpotensi menjadi tarikan pelancong.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, kami tampilkan mural bertemakan keunikan, dengan menonjolkan seni budaya serta tempat-tempat menarik di Pahang," katanya ketika ditemui di Lorong Kartun pada Ahad.

Dinding belakang bangunan Mahkota Square dihiasi mural kartun.
Dinding belakang bangunan Mahkota Square dihiasi mural kartun.

Woren 76 memberitahu cabaran utama dalam menyiapkan mural ini adalah faktor cuaca yang tidak menentu.

"Kita bermula pada musim hujan dan sekarang ini masih hujan. Jadi waktu bekerja agak terhad, tapi apabila hari panas, kita akan mula bekerjalah," katanya.

Beliau turut memaklumkan projek itu menelan kos sebanyak RM30,000 dan kini berada dalam fasa pertama pelaksanaannya.

Ujar Woren 76, walaupun baru sahaja bermula, Lorong Kartun telah menarik perhatian ramai pengunjung yang ingin bergambar dengan mural-mural unik di situ.

"Kita rasa dihargai sebab yang datang bukan sahaja pelancong tempatan, malah ada juga dari luar negara," tambahnya lagi.

Lorong Kartun antara lokasi baharu tarikan pelancongan di Kuantan.
Lorong Kartun antara lokasi baharu tarikan pelancongan di Kuantan.

Sementara itu, kartunis, Munif Mohamad Nor, 57, berkata, Lorong Kartun adalah satu medium seni yang memperkenalkan identiti Kuantan melalui karya mural.

"Kartun yang saya hasilkan membawa elemen nostalgia di Kuantan. Banyak yang kita paparkan di sini mencerminkan identiti Pahang dan Kuantan itu sendiri," katanya.

Menurut Munif, pemilihan konsep mural ini mengikut garis panduan MBK dan setiap kartunis perlu menghantar reka bentuk terlebih dahulu sebelum dipilih untuk dipaparkan.

Katanya, selain faktor cuaca, jarak juga menjadi cabaran utama bagi kartunis yang datang dari luar Kuantan seperti dari Jerantut dan Kuala Lumpur, yang hanya dapat melukis pada hujung minggu.

Seni mural kartun yang terdapat pada dinding di belakang Mahkota Square.
Seni mural kartun yang terdapat pada dinding di belakang Mahkota Square.

"Kami perlu menyesuaikan diri dengan keadaan, terutama sekali cuaca, kalau hujan, kerja terpaksa dihentikan.

"Tapi kalau mural dilukis di kawasan tertutup, ia tidak menjadi masalah," ujarnya.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran, Munif yakin projek itu akan memberi impak positif kepada Kuantan dan menjadi daya tarikan baharu bagi pencinta seni serta pelancong.

"Ini satu-satunya lorong seni yang menampilkan mural dalam bentuk kartun sepenuhnya. Saya percaya ia akan menjadi tarikan baharu yang berbeza di Kuantan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!