Kedudukan pemimpin Bersatu di Selangor akan dikaji

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Kedudukan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di dalam pentadbiran kerajaan Selangor akan dikaji semula selepas ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkembangan itu dibuat susulan pembentukan kerajaan Pusat baharu dan hasil perbincangan bersama semua pengerusi parti Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.

"Kita terpaksa kaji semula (kedudukan pemimpin Bersatu) sebab agak mustahil untuk kerajaan Pusat dan kerajaan negeri berlainan gabungan.

"Boleh (jika dilaksanakan) tapi agak janggallah," katanya kepada media selepas Perasmian Pesta Buku Selangor 2020 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Menurutnya, perkara itu juga disampaikan kepada Exco Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.

Amirudin (dua dari kiri) membuat gimik perasmian Pesta Buku Selangor 2020 hari ini.
Amirudin (dua dari kiri) membuat gimik perasmian Pesta Buku Selangor 2020 hari ini.

"Kita juga akan mengemukakan calon bagi menggantikan kedudukan Rashid kepada Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah selepas tiba masanya nanti.

"Saya akan lakukan perbincangan segera mengenai perkara ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, pihaknya menghormati bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebagai pemimpin namun aspek tanggungjawab perlu jelas dan diutamakan.

"Dalam keadaan begini, saya tunjukkan untuk kekal di dalam parti walaupun beliau memilih untuk keluar. Kalau saya bertindak ikut individu saya dah boleh sabotaj, namun aspek tanggungjawab kena jelas.

"Ada batas tertentu dalam hubungan keluarga, kawan dan kenalan," katanya ketika ditanya mengenai dakwaan mengatakan beliau ialah 'budak Azmin'.