Menteri Besar Selangor angkat sumpah Isnin ini

Istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji serta pengurniaan surat pelantikan Menteri Besar Selangor baharu berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.
Istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji serta pengurniaan surat pelantikan Menteri Besar Selangor baharu berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan pelaksanaan istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji serta pengurniaan surat pelantikan Menteri Besar Selangor baharu pada Isnin depan.

Selangor Royal Office dalam kenyataannya memaklumkan, istiadat itu akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah Klang, pada jam 11 pagi.

Menurut kenyataan itu, istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji serta pengurniaan surat cara pelantikan Exco Selangor juga berlangsung pada tempat dan tarikh sama, tetapi dilaksanakan pada jam 2 petang.

Bagaimanapun, Selangor Royal Office dalam kenyataannya tidak menamakan pelantikan Menteri Besar Selangor baharu itu.

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Perpaduan akan mengekalkan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menang di negeri itu dalam pilihan raya negeri (PRN).

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Julai lalu, ketika berucap merasmikan Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor di Kuala Selangor.

Pada PRN Selangor Sabtu lalu, gabungan PH dan BN berjaya membentuk kerajaan negeri Selangor selepas menang 34 daripada 56 kerusi DUN.

Jumlah 34 kerusi itu diperoleh menerusi DAP sebanyak 15 kerusi, PKR (12 kerusi) manakala Parti Amanah Negara memperoleh lima kerusi sementara BN hanya dua kerusi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) pula memenangi 22 kerusi menerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebanyak 12 kerusi manakala Pas mendapat 10 kerusi.