Malaysia akui terkesan tarif baharu AS, bersedia adakan rundingan - Anwar

Anwar Ibrahim meluangkan masa bersalaman bersama jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Prima Saujana, Kajang hari ini. - Foto: Bernama
Anwar Ibrahim meluangkan masa bersalaman bersama jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Prima Saujana, Kajang hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KAJANG – Malaysia mengakui terkesan dengan pengumuman tarif balas sebanyak 24 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS), namun bersedia untuk mengadakan rundingan termasuk bersama beberapa negara ASEAN lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar tarif yang dikenakan ke atas Malaysia masih rendah berbanding negara jiran, namun tetap memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Kita memang terkesan juga sedikit walaupun kadarnya tinggi, tetapi lebih rendah daripada beberapa negara jiran. Sebab itu, kita ambil keputusan untuk mengadakan rundingan dengan rakan-rakan saya.

“Saya sudah menghubungi Perdana Menteri Thailand dan sebentar tadi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto. Sekejap lagi dengan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, dan selepas itu Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Prima Saujana, di sini.

Anwar berkata, perbincangan itu bertujuan untuk membentuk kesepakatan dalam menjawab isu tersebut dan memastikan prinsip keadilan dipertahankan dalam urusan perdagangan antara ASEAN dan AS.

Terdahulu, media melaporkan bahawa AS akan memperkenalkan tarif asas sebanyak 10 peratus terhadap semua negara dan duti tambahan kepada beberapa negara tertentu termasuk Malaysia.

Bagaimanapun, lebih 180 negara disasarkan dalam dasar tarif balas baharu itu, dengan pengecualian kepada Kanada dan Mexico yang sebelum ini telah dikenakan penalti oleh AS sebagai tekanan untuk menangani isu migrasi dan penyeludupan fentanyl.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar memaklumkan bahawa Menteri-Menteri Perdagangan ASEAN dijadualkan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis depan bagi membincangkan secara menyeluruh isu tarif baharu tersebut.

“Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga sedang menghubungi rakan sejawatnya bagi tujuan itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Anwar, beliau akan mempengerusikan satu mesyuarat khas jawatankuasa mengenai isu tarif dan tekanan AS petang ini bersama Jemaah Menteri, Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Dasar kepada Perdana Menteri, Tan Sri Mohd Hassan Marican.

Mengulas mengenai kemungkinan tindakan balas oleh Malaysia terhadap AS, Anwar berkata, perkara itu akan diteliti secara menyeluruh dalam mesyuarat tersebut.

“Yang penting, bukan soal tindak balas, tetapi kita mahu jaga kepentingan ekonomi negara, khususnya industri semikonduktor yang banyak dieksport ke AS.

“Kira-kira 60 hingga 65 peratus eksport semikonduktor kita adalah ke AS, dan lebih 26 peratus keperluan semikonduktor AS datangnya dari Malaysia.

“Jadi kita kena teliti semua aspek ini. Insya-ALLAH, kita akan buat pengumuman petang nanti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!