Perhebat Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia imbangi kesan tarif AS

SHAH ALAM - Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia perlu diperhebatkan kembali sebagai langkah proaktif untuk menyokong ekonomi tempatan susulan pengumuman tarif baharu oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Presidennya, Donald Trump.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, rakyat Malaysia perlu bersama-sama memilih produk tempatan berbanding produk asing, melainkan jika tiada alternatif lain di pasaran.
Menurut beliau, semua produk yang dijual dalam negara juga perlu dilabelkan sama ada sebagai buatan Malaysia atau asing bagi melancarkan kempen tersebut.
"Semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu membeli produk atau perkhidmatan buatan tempatan untuk keperluan operasi mereka.
"Syarikat dan perniagaan milik tempatan turut digesa mengutamakan penggunaan produk tempatan," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Pada Khamis, AS dilaporkan mengenakan tarif 24 peratus ke atas barangan import Malaysia sebagai sebahagian daripada langkah perdagangan global.
Bagi Faiz, kempen itu dijangka membantu meningkatkan permintaan terhadap barangan tempatan tatkala jualan ke Amerika Syarikat dijangka terjejas berikutan tarif baharu tersebut.
"Kita tidak mahu industri tempatan terjejas teruk akibat lambakan bekalan secara mengejut. Malaysia berhak mengambil langkah-langkah tertentu untuk menjaga kedaulatan ekonominya," ujarnya.
Beliau turut menyifatkan kempen Beli Barangan Buatan Malaysia amat penting bagi mengelakkan krisis ekonomi, termasuk risiko peningkatan kadar pengangguran.
Dalam perkembangan sama, Faiz turut mencadangkan beberapa tindakan bagi mengimbangi kesan ekonomi terhadap tarif Trump, termasuklah penubuhan jawatankuasa khas peringkat tertinggi bagi mengkaji bantuan bersesuaian kepada industri yang terkesan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

