Tarif baharu AS beri kesan besar ekonomi Malaysia

Laporan Sinar Harian berhubung tarif baharu dikenakan AS ke atas import Malaysia 24 peratus. Gambar kecil: Barjoyai dan Mohd Afzanizam
Laporan Sinar Harian berhubung tarif baharu dikenakan AS ke atas import Malaysia 24 peratus. Gambar kecil: Barjoyai dan Mohd Afzanizam
A
A
A

Pelaksanaan tarif balas sebanyak 24 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas barangan tertentu dari Malaysia dijangka memberi kesan ketara terhadap ekonomi negara, memandangkan AS merupakan antara rakan dagang utama negara ini.

Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, tarif baharu ini boleh menyebabkan permintaan terhadap barangan eksport Malaysia menurun kerana kos import bagi peniaga di AS meningkat.

“Mereka akan mengambil dua langkah utama iaitu pertama, mencari pembekal alternatif yang menawarkan harga lebih rendah dan kedua, berunding dengan pengeksport Malaysia untuk memperbaharui perjanjian jual beli.

“Akibatnya, pengeksport Malaysia mungkin terpaksa menurunkan harga kerana mereka perlu menyerap sebahagian daripada tarif ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Selain itu, beliau turut menjangkakan kesan tidak langsung terhadap ekonomi domestik termasuk peningkatan harga barangan tempatan.

“Peniaga di Malaysia dijangka menaikkan harga barangan, terutamanya barangan import yang akhirnya memberi tekanan kepada pengguna,” jelasnya.

Dalam jangka panjang katanya, tarif ini berpotensi memberi kesan berganda kepada ekonomi Malaysia termasuk penurunan eksport, kelemahan nilai mata wang serta ketidaktentuan dalam pasaran pelaburan dan pekerjaan.

Sementara itu, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, jika negara-negara utama seperti Kesatuan Eropah (EU) mengambil langkah serupa dengan mengenakan tarif terhadap AS, perang perdagangan global akan berlanjutan.

“Ia akan merugikan semua pihak akibat kenaikan kos perlu ditanggung oleh negara-negara terbabit yang seterusnya boleh menyebabkan pertumbuhan ekonomi global menjadi lebih perlahan.

Artikel Berkaitan:

“Malaysia sebagai sebuah negara dengan ekonomi terbuka dalam perdagangan antarabangsa dan pelaburan, pasti akan menerima tempias daripada perang perdagangan ini,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa rundingan dengan AS adalah pendekatan terbaik berbanding tindakan balas mengenakan tarif terhadap negara tersebut.

“Membalas tarif yang dikenakan hanya akan meningkatkan kos perniagaan di samping menjejaskan hubungan diplomatik dengan AS.

“Sebaiknya rundingan dilakukan secara kolektif melalui platform yang sesuai seperti ASEAN,” jelas beliau.

Menurut Mohd Afzanizam, produk semikonduktor dikecualikan daripada tarif baharu AS manakala sektor sarung tangan mendapat manfaat daripada dasar tersebut menunjukkan bahawa Malaysia masih berada dalam kedudukan yang strategik di mata AS.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!