[VIDEO] Ibu tunggal lapan anak sayu sambut Aidilfitri

A
A
A

JOHOR BAHRU - Tatkala kebanyakan keluarga sibuk membuat persiapan menyambut ketibaan Aidilfitri, keluarga ini hanya mampu memerhati dari jauh tanpa membuat apa-apa persiapan.

Malah, ketika keluarga lain sibuk mendapatkan pakaian baharu untuk digayakan pada lebaran nanti, keluarga ini hanya mengenakan pakaian tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, menurut ibu tunggal lapan anak, Noorfazlin Zainal Abidin, 42, dia tetap reda apabila tidak dapat menyediakan sebarang keperluan untuk berhari raya kali ini akibat kekangan kewangan.

Noofazlin (duduk, kiri), bersama kesemua anaknya serta ibunya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 lalu.
Noofazlin (duduk, kiri), bersama kesemua anaknya serta ibunya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 lalu.

Lagipun katanya, pakaian yang mereka perolehi hasil sumbangan orang ramai pada hari raya tahun lalu masih elok dan masih boleh boleh dipakai untuk sambutan hari raya kali ini.

“Tahun ini kami sekeluarga tidak membuat sebarang persediaan. Baju pun guna mana yang ada saja; lagi pun semuanya masih elok lagi.

“Lagi pun, dengan kekangan keperluan yang saya hadapi, keluarga kami memang tidak ada buat persiapan langsung. Kami hanya pakai apa yang ada.

“Tahun lepas masih ada mak memang meriah, kami dapat menyambutnya bersama, tetapi tahun ini mak sudah tiada, memang bertambah sayu rasa hati,” katanya kepada Sinar Harian.

Untuk rekod, ibunya, Zawiyah Ahmad, 70 yang terlantar sakit akibat sakit kronik, kanser usus, kanser hati dan kanser tiroid tahap empat meninggal dunia pada 27 November tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, ketiadaan ibunya, menambahkan rasa sayu bagi dirinya sekeluarga menyambut Syawal kali ini.

“Dulu sambut raya memang meriahlah, ada mak tapi sekarang bila mak dah tak ada rasa suram dan sambutan raya pun dah tak macam dulu,” katanya.

Noorfazlin
Noorfazlin

Mengulas mengenai dirinya yang tidak bekerja bagi Noorfazlin berkata, dia tidak dapat berbuat demikian kerana perlu menguruskan anak-anaknya, termasuk anak kelimanya, Syed Muhammad Asyraf Syed Mohd. 9, yang merupakan kanak-kanak kelainan upaya (OKU) ASD, sejak lahir dan memerlukan perhatian yang lebih.

Malah, enam daripada lapan anaknya masih bersekolah dengan jadual yang berbeza-beza menjadikan tugasan hariannya semakin mencabar.

“Seperti semua tahu, saya ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal, bagi menampung kehidupan kami sekeluarga.

“Selain itu, saya juga ada buat bisnes kecil-kecilan seperti memasak mi goreng, kueytiau goreng, air kelapa, tauhu bakar dan jus jambu.

“Tapi saya buat semua tu hanya atas permintaan sahaja dan hanya di sekitar kawasan perumahan saya ini sahaja,” katanya yang kini tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Uda Utama.

Noorfazlin menyediakan juadah berbuka buat keluarganya.
Noorfazlin menyediakan juadah berbuka buat keluarganya.

Selain Noorfazlin, dan Syed Muhammad Asyraf, rumah mereka di PPR Uda Utama itu turut didiami tujuh lagi anaknya, Sharifah Nurul Amiera yang berusia 21 tahun, Nur Alya Natasha, (18), Sharifah Nur Ainin Sofia, (13), Sharifah Nur Umairah, (12), Sharifah Nur Fatimah Azzahra, (7), Syed Muhammad Huzaifah (5 tahun), dan Syed Muhammad Yusuf (3 tahun).

Noorfazlin turut mengakui, bagi memenuhi keperluan harian, adakalanya dia terpaksa meminta bantuan rakan-rakan selain terpaksa berhutang.

Bagaimanapun, katanya, dia hanya akan berhutang dengan mereka hanya apabila mendapati keadaan benar-benar mendesak sahaja.

“Saya hanya mampu bergantung kepada ihsan sahabat-sahabat untuk membantu. Namun, itu pun masih tidak mencukupi bagi menampung keperluan harian anak-anak saya,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), 051-094-100-0037-044 milik Noorfazlin Zainal Abidin, atau menghubungi sendiri talian 018-7890870 (Noorfazlin).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!