Isu peniaga belon: PN gesa dasar, pendekatan penguatkuasaan diteliti secara berterusan

SHAH ALAM - Dasar dan pendekatan penguatkuasaan perlu diteliti secara berterusan bagi memastikan peniaga kecil khasnya diberi ruang berniaga secara tertib berlandaskan pelaksanaan undang-undang yang lebih responsif terhadap keadaan setempat serta semasa.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, usaha ini penting bagi mengelak insiden membabitkan penjaja belon dan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) daripada berulang.
Menurutnya, PN tidak mempersoalkan keperluan peraturan dan undang-undang bagi mengatur kehidupan bermasyarakat, apatah lagi di bandar raya sesak seperti Kuala Lumpur.
"Namun pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang hendaklah dilakukan dengan berhemah, manusiawi, tidak dilihat menindas mana-mana pihak dan tidak melampau terutama terhadap rakyat biasa.
"Tindakan yang berlebih-lebihan tidak profesional atau tidak berpadanan dengan kesalahan tidak boleh diterima sama sekali," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, tular beberapa rakaman video memaparkan insiden kekecohan selepas berlaku perselisihan antara penguat kuasa DBKL dan penjual barangan tanpa lesen.
Rakaman video yang dipercayai diambil peniaga sekitar lokasi itu mulanya menunjukkan beberapa anggota penguat kuasa DBKL sedang merampas belon yang dijual seorang individu, namun suasana bertukar menjadi kecoh selepas peniaga dipercayai tidak memberi kerjasama.
Sementara itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas turut menegaskan, penguatkuasaan undang-undang harus menggambarkan dasar kerajaan yang membela dan melindungi rakyat bawahan yang mencari rezeki.
Ini kerana katanya, melalui perniagaan kecil-kecilan ia bertujuan menampung kehidupan mereka, bukannya dilihat mengutamakan golongan atasan atau berkedudukan tertentu.
"Sebagai badan penguat kuasa yang berdepan dengan isu seperti ini hampir setiap hari, DBKL sepatutnya sudah bersedia dengan respons yang lebih bijak, praktis, kreatif dan bebas konflik, terutama dalam kes pelanggaran kecil undang-undang.
"Pemberian lesen sementara dengan variasi tempoh atau lokasi, pengenaan fi tertentu atau saman secara terus di tapak, misalnya, adalah antara pendekatan yang boleh diteroka bagi menghindari ketegangan," katanya.
Beliau menambah, PN akan terus memantau kes berkenaan dan kes-kes lain yang seumpamanya.
Selain itu, pihaknya juga bersedia membantu mana-mana individu yang terkesan untuk mendapatkan keadilan dan pembelaan sewajarnya jika diperlukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

