Nahas lima maut: Treler ada empat rekod kesalahan JPJ

Tayar hadapan sebelah kanan sebuah treler pecah dipercayai punca kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 58.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan pada malam Khamis.
Tayar hadapan sebelah kanan sebuah treler pecah dipercayai punca kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 58.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan pada malam Khamis.
A
A
A

IPOH - Treler muatan mesin yang terlibat dalam kemalangan ngeri meragut lima nyawa di Kluang, Johor Khamis lepas, mempunyai empat rekod kesalahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, semakan dalam sistem mendapati semua kesalahan itu direkodkan antara tahun 2017 hingga 2022.

Menurutnya, ia membabitkan dua kesalahan gagal patuhi notis arah pemeriksaan berkala dan masing-masing satu kes membawa muatan secara tidak selamat serta membawa muatan menjulur melebihi badan kenderaan.

"Rekod lampau memang ada, tetapi semua kes berkenaan telahpun selesai.

"Kesalahan dilakukan ini lebih kepada teknikal dan juga melibatkan kesalahan biasa untuk pemandu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemantauan dan pemeriksaan bas di Terminal Meru Raya di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan.

Berdasarkan rekod polis, pemandu treler berusia 35 tahun terbabit turut mempunyai dua kesalahan lampau trafik iaitu mengabaikan isyarat lalu lintas pada tahun 2023 dan larangan memotong pada 2018.

Artikel Berkaitan:

Aedy Fadly (tiga dari kanan) meninjau pemeriksaan dilakukan anggota sempena pemantauan dan pemeriksaan bas di Terminal Meru Raya di Ipoh pada Sabtu.
Aedy Fadly (tiga dari kanan) meninjau pemeriksaan dilakukan anggota sempena pemantauan dan pemeriksaan bas di Terminal Meru Raya di Ipoh pada Sabtu.

Aedy Fadly berkata, JPJ telahpun membuka kertas siasatan, Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) terhadap pemilik syarikat lesen pengendali kenderaan perdagangan tersebut.

Katanya, hasil siasatan mendapati, kenderaan itu boleh dikenakan tindakan sitaan dan lucut hak kerana gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah gagal menyelenggara kenderaan dengan baik dan boleh guna (Seksyen 58(1)(a) APAD 2010).

"Tidak memberi keutamaan kepada keselamatan pengguna jalan raya lain (Seksyen 58(1)(b) APAD 2010) dan tidak mematuhi syarat tahap perkhidmatan bagi perkhidmatan kenderaan barangan tahun 2024 (Seksyen 57(1) APAD 2010)," katanya.

Mengenai dakwaan kemungkinan kenderaan terlibat menggunakan tayar celup yang tidak mematuhi standard, Aedy Fadly berkata, perkara itu masih belum dapat dipastikan.

Ujar beliau, dalam kebanyakan kes, penggunaan tayar celup bukanlah faktor utama yang menyumbang kepada kemalangan.

"Kadang-kadang faktor yang berlaku (kemalangan) mungkin disebabkan keadaan jalan itu sendiri dan bukan semestinya berkaitan tayar sahaja.

"Bagi kes ini, kita sudah ada auditan JISA dan kita sedang menunggu laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

Terdahulu, media melaporkan nahas di Kilometer 58.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan tersebut berlaku selepas sebuah treler hilang kawalan hingga masuk ke laluan bertentangan akibat tayar pecah.

Sementara itu, sebanyak 49 bas ekspres di Terminal Meru Raya terlibat dalam pemeriksaan JPJ dengan kesemuanya didapati mematuhi peraturan dan spesifikasi teknikal yang ditetapkan sebelum memulakan perjalanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!