Nahas lima maut: 'Angah selalu cakap mahu sehidup semati dengan suami’

Siti Khazira, suami dan anaknya selamat dikebumikan dalam satu liang lahad. Gambar kiri: Muhd Taufiq turut berkongsi foto Allahyarham Nasaarudin bersama anak-anak.
Siti Khazira, suami dan anaknya selamat dikebumikan dalam satu liang lahad. Gambar kiri: Muhd Taufiq turut berkongsi foto Allahyarham Nasaarudin bersama anak-anak.
A
A
A

SHAH ALAM - Wanita dan suaminya yang maut dalam kemalangan ngeri membabitkan empat kenderaan termasuk treler di Kilometer 58.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di Kluang, Johor mahu sehidup semati dengan pasangannya itu.

Allahyarham Siti Khazira Bani, 35, sering mengungkapkan hajatnya itu kepada ahli keluarga kerana bahagia hidup bersama Allahyarham Nasaarudin Pardi, 36.

Adik arwah Siti Khazira, Muhd Taufiq Bani berkata, Nasaarudin juga bukan sekadar abang iparnya namun merupakan sahabatnya sejak belum berkahwin dengan kakaknya.

“Buat sahabatku, abangku Nasaarudin terima kasih sebab jadi kawan aku sebelum kau kenal Angah (nama panggilan kakak) lagi.

“Terima kasih banyak-banyak sebab jaga kakak aku sehabis baik, bahagiakan angah sampai dia selalu sangat cakap nak sehidup semati dengan kau. Terima kasih Cha (nama sapaan Nasaarudin), aku sayang kau Cha,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Nahas tragis pada Khamis berkenaan yang menyaksikan kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stepwagon Spada yang dinaiki pasangan jurudraf kapal itu bertembung dengan tiga lagi kenderaan turut mengorbankan tiga lagi nyawa iaitu anak bongsu mereka, Maryam Nusaibah, 2, serta pemandu dan penumpang X50 masing-masing Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23 dan Mohd Nur Afiji Asamad, 27.

Tiga lagi anak pasangan berkenaan yang berusia sembilan, tujuh dan empat tahun cedera parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Ketika kejadian enam beranak berkenaan dalam perjalanan pulang dari rumah mereka di Bukit Jalil, Kuala Lumpur ke kampung halaman di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Artikel Berkaitan:

Muhd Taufiq, 33, turut mencurahkan isi hatinya mengenai kehadiran bermakna anak bongsu kakak dan abang iparnya itu.

“Untuk anak syurga pak cik Maryam Nusaibah, terima kasih hadir dalam hidup keluarga ni walaupun cuma dua tahun. Terima kasih Maryam sebab tarik sekali tangan abah dengan ibu untuk ke syurga, pak cik sayang Maryam, pak cik jagakan abang-abang dan akak Maryam okay,” ujarnya.

Muhd Taufiq turut menyifatkan arwah kakaknya sebagai seorang anak yang baik kepada ibu bapa mereka.

“Untuk Angah sayang, terima kasih Angah sebab jadi akak yang sangat baik, jadi anak ibu ayah yang baik. Kita adik-beradik tiga saja Apit, Angah dan Along. Kita memang rapat, sehari dua mesti berhubung.

“Minggu lalu baru je Apit datang rumah sebab Angah bawakan ibu masakkan siput sedut dengan roti john kegemaran kita dari Kota Tinggi ke Kuala Lumpur.

“Terima kasih banyak Ngah jadi akak Apit. Angah punya tanggungjawab dah selesai kat sini, untuk anak-anak, jangan risau keluarga kita, keluarga belah Nasaa (Nasaarudin) semua ada nak jagakan anak-anak Angah. Jumpa nanti dekat syurga Angah, Nasaa dan Maryam,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!