Mesej tak berbalas, rupanya maut kemalangan

Jenazah Nasaruddin dan Maria tiba ke masjid selepas solat Jumaat.
Jenazah Nasaruddin dan Maria tiba ke masjid selepas solat Jumaat.
A
A
A

KOTA TINGGI – [DIKEMAS KINI] “Dia tak pernah tak balas pesanan, ingatkan sebab jalan sesak, rupanya kemalangan."

Itu luahan Nur Hafiza Bani, 36, apabila adiknya, Siti Khazira Bani, 35, bersama suami Nasarudin Pardi, 36, dan anak bongsu mereka, Maryam Nasrudin, 2, yang maut dalam nahas di Kilometer 58.1, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, lewat malam tadi.

Katanya, Siti Khazira sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah orang tua mereka di Taman Kota Jaya di sini, dari Bukit Jalil, Kuala Lumpur sempena cuti Hari Raya Aidilfitri.

"Saya dimaklumkan, mereka bertolak selepas Isyak, namun pesanan yang saya hantar pada pukul 11.30 malam tidak pernah berbalas.

"Tak sangka pula dia sekeluarga kemalangan, ingatkan lambat sebab jalan sesak.

"Jam 3 pagi baru kami dapat berita. Semuanya musnah, termasuklah telefon bimbit adik saya," katanya.

Untuk rekod, Siti Khazira Bani, 35 bersama suami Nasarudin Pardi, 36 dan anak mereka Mariam Nasarudin, 2 maut dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan Kilometer 58.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, lewat malam tadi.

Dua lagi anak pasangan itu terselamat dalam kemalangan tersebut dan kini dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Sementara itu, Nur Hafiza berkata, dia tambah sedih apabila terkenangkan perancangan mereka untuk mengadakan sesi fotografi keluarga pada pagi Jumaat tidak kesampaian.

Artikel Berkaitan:

"Kami hanya merancang, tetapi takdir menentukan segala-galanya," katanya.

Jenazah tiga beranak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam setelah urusan solat jenazah dilaksanakan di Masjid Al-Muttaqin Taman Kota Jaya, selepas solat Asar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!