30 PATI Myanmar mendarat di pangkalan haram ditahan

PATI yang ditahan dibawa ke IPD Tanah Merah untuk tindakan lanjut. Foto PDRM 
PATI yang ditahan dibawa ke IPD Tanah Merah untuk tindakan lanjut. Foto PDRM 
A
A
A

TANAH MERAH – Seramai 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan bersama empat lelaki tempatan yang disyaki menjadi tekong dalam operasi di Pengkalan Haram Yuti, Nibong di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, operasi yang dijalankan pada jam 9.45 pagi itu dilaksanakan hasil maklumat risikan.

“Hasil pemeriksaan di lokasi, terdapat 30 warga Myanmar terdiri 18 lelaki dan 12 perempuan.

“Empat lagi lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan membawa masuk warga asing melalui laluan tidak sah turut ditahan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Haki berkata, operasi itu membabitkan 10 anggota dari Balai Polis Nibong, Balai Polis Batu Gajah, Balai Polis Bukit Bunga dan Balai Polis Lalang Pepuyu.

Menurutnya, daripada empat warga tempatan yang ditahan, tiga daripadanya didapati positif dadah.

Katanya, polis turut menemukan sebotol cecair disyaki air ketum dengan anggaran isipadu 450 mililiter di dalam sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi.

“Dua kenderaan iaitu Perodua Myvi dan Honda City serta sebotol cecair disyaki air ketum turut dirampas untuk tindakan siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, pesalah boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI yang ditemukan di premis.

Seksyen 6(1)(c) dibaca bersama Seksyen 6(3) akta sama pula memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali serta sebatan tidak melebihi enam kali.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!