Polis buru dua lelaki lolos pemeriksaan

KUALA LUMPUR – Aksi sebuah kereta serta beberapa individu dikejar pihak polis di Jalan Sultan Salahuddin di sini yang tular di media sosial dipercayai berlaku ketika Op Tapis Khas dijalankan pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, pihaknya mengesahkan kejadian berlaku ketika sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menjalankan operasi berkenaan.
Menurutnya, anggota polis mengesan sebuah kereta Honda Accord berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan sebelum menghampiri kenderaan itu untuk pemeriksaan.
"Pemandu kereta berkenaan bagaimanapun bertindak melulu dengan melanggar sebuah Honda City berwarna biru bagi meloloskan diri daripada pemeriksaan polis.
"Bagaimanapun, pada jam 6.40 petang, polis berjaya mengesan semula kenderaan itu di persimpangan Jalan Sultan Salahuddin sebelum bertindak mengejarnya, dua lelaki kemudian keluar dari kenderaan terbabit dan melarikan diri, " katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini tular di media sosial memaparkan beberapa individu dikejar pihak polis di persimpangan lampu isyarat di lokasi terbabit.
Kejadian itu dipercayai dirakam oleh pengguna jalan raya sebelum video berkenaan kemudiannya tular di media sosial.
Beliau berkata, pemeriksaan awal terhadap kenderaan berkenaan tidak menemukan sebarang barangan salah di sisi undang-undang.
"Polis kini sedang mengesan kedua-dua individu terbabit bagi membantu siasatan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 atau 03-2146 0585, maklumat juga boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan Daerah IPD Dang Wangi menerusi talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


