Rakyat Malaysia diarah segera tinggalkan Sudan Selatan

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Rakyat Malaysia di Sudan Selatan diarahkan membuat persiapan untuk meninggalkan negara itu segera, sementara penerbangan komersial masih beroperasi.
Wisma Putra menerusi kenyataan memaklumkan, langkah itu diambil memandangkan risiko yang semakin meningkat dan kemungkinan keadaan keselamatan terus meruncing,
Menurutnya, rakyat Malaysia juga dinasihati untuk tidak melakukan sebarang perjalanan ke Sudan Selatan.
"Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya sedang memantau situasi keselamatan di Sudan Selatan berikutan perkembangan terkini yang telah menjejaskan tahap keselamatan di negara tersebut," katanya pada Jumaat.
Ujar Wisma Putra, Suruhanjaya Tinggi sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia di samping terus menyelaras dengan pihak berkuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan status 18 Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang berkhidmat di bawah United Nations Police (UNPOL).
"Kesemua mereka berada dalam keadaan selamat," jelas kementerian itu.
Sebelum ini, KLN menggesa 55 rakyat Malaysia untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat atau kembali ke Malaysia secara sukarela susulan situasi keselamatan semakin merosot akibat konflik bersenjata.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya, boleh dihubungi melalui alamat 611, Runda Grove, Runda, P.O. Box 42286-00100, Nairobi atau nombor telefon pejabat 254 111 052710 dan menerusi talian 254 741 603952, 254 704 770367.
Sementara itu, agensi berita Reuters melaporkan langkah sama diambil oleh Britan manakala beberapa negara barat seperti Amerika Syarikat, Jerman, United Kingdom telah mengurangkan operasi kedutaan mereka di Sudan Selatan.
Sudan Selatan yang baru mencapai kemerdekaan pada tahun 2011 kini diambang perang saudara yang menyaksikan ketegangan antara prngikut Naib Presiden Pertama Riek Machar dan Presiden Salva Kiir.
Penahanan Machar pada Rabu lalu dilaporkan telah meruntuhkan perjanjian damai yang mengakhiri perang saudara 2013-2018
Penahanan itu berlaku selepas menteri pertahanan dan ketua keselamatan negara memasuki kediamannya di Juba, menyerahkan waran tangkap dan menahannya bersama isteri dan dua pengawal peribadi.
Tindakan berkenaan menimbulkan kebimbangan antarabangsa bahawa ia boleh meruntuhkan proses damai dan membawa negara itu kembali ke kancah perang saudara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

