Tiada sekatan perjalanan baharu terhadap rakyat Malaysia - KLN

PUTRAJAYA - Kementerian Luar Negeri (KLN) menegaskan bahawa tiada sekatan visa baharu dikenakan ke atas rakyat Malaysia yang ingin melakukan perjalanan ke luar negara.
Penjelasan ini dibuat susulan penularan sebuah video mengelirukan di platform perkongsian video yang secara palsu mendakwa bahawa lapan negara telah memperkenalkan keperluan visa baharu bagi warganegara Malaysia.
"Kementerian menegaskan bahawa dakwaan ini adalah sama sekali tidak benar. Sehingga kini, tiada sebarang perubahan terhadap dasar visa yang menjejaskan rakyat Malaysia di negara-negara yang disebutkan," menurut kenyataan KLN pada Selasa.
Justeru, satu laporan polis telah dibuat, dan video berkenaan telah dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada.
KLN turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan sentiasa merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat perjalanan yang tepat dan terkini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!