Nenek 'mola-mola' curi hati rakyat Malaysia

Keunikan Kakcik Yah terletak pada ekspresi wajah, intonasi suara serta pemilihan kata-kata yang sering mengundang gelak ketawa penonton.
Keunikan Kakcik Yah terletak pada ekspresi wajah, intonasi suara serta pemilihan kata-kata yang sering mengundang gelak ketawa penonton.
A
A
A

TIKTOK semakin menjadi platform utama bagi pencipta kandungan di negara ini untuk meraih populariti dan kebelakangan ini, Kakcik Yah berjaya mencuri tumpuan warganet.

Dibandingkan dengan idola masakan yang telah mencipta nama iaitu Khairul Aming, warga emas berusia 75 tahun menggunakan nama @kakcikyah4 di TikTok itu mempunyai hampir 370,000 pengikut dengan jumlah like mencecah 3.2 juta.

Khairul Aming terkenal dengan video masakannya yang mudah difahami dan penuh karisma. Pendekatan profesional dan kreativiti dalam penghasilan video menjadikan beliau sebagai ikon dalam bidang kulinari digital.

Beliau bukan sekadar berkongsi resipi, malah memberikan inspirasi kepada ramai untuk mencuba memasak sendiri di rumah.

Di satu sisi lain, Kakcik Yah muncul sebagai figura berbeza, namun tetap mencuri perhatian dengan kandungan yang mencerminkan kehidupan seharian secara bersahaja dan humoris.

Gaya penyampaiannya lebih spontan dengan dialog yang selamba, tetapi penuh dengan kelucuan yang menghiburkan.

Keunikan Kakcik Yah terletak pada ekspresi wajah, intonasi suara serta pemilihan kata-kata yang sering mengundang gelak ketawa penonton.

Tidak seperti Khairul Aming yang menekankan aspek penyampaian teratur, Kakcik Yah lebih dikenali dengan gaya bercerita yang natural dan dekat dengan kehidupan rakyat Malaysia.

Oleh itu, kandungannya sering menjadi tular kerana unsur realistik yang mencerminkan ragam masyarakat setempat.

Artikel Berkaitan:

Selain humor, keistimewaan Kakcik Yah juga adalah keberaniannya dalam menyuarakan pandangan mengenai pelbagai isu sosial dengan cara yang santai tetapi berkesan.

Ini menjadikan beliau sebagai figura yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut mencerminkan suara rakyat dalam pelbagai isu yang berlaku di sekeliling.

Jika pembuka kata “Hey, what’s up guys!” oleh Khairul Aming sebelum ini menjadi ikutan, sebutan “mola-mola” yang keluar daripada mulut Kakcik Yah kini trending di media sosial.

Agak lucu apabila penulis membaca komen-komen warganet pada setiap video Kakcik Yah. Ternyata, rakyat Malaysia bukan serius semuanya, ramai yang menghibur dan mudah terhibur.

Kakcik Yah bukan sahaja memberikan inspirasi, tetapi 'hiburan' yang kita perlukan dalam meniti kehidupan yang adakalanya menyesakkan mental.

Public Health Malaysia memaklumkan, satu daripada tiga rakyat Malaysia alami gangguan mental, tetapi kebanyakan tidak mendapatkan rawatan.

Katanya lagi, masalah mental bukan kelemahan, bukan tanda kegagalan keluarga. Ia adalah realiti yang perlu difahami, bukan disangkal. Jika ada ahli keluarga yang berjuang dalam senyap, jangan biarkan dia sendirian.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, 2.3 peratus rakyat Malaysia mengalami kemurungan, manakala 7.9 peratus mengalami gangguan kebimbangan. Golongan muda dan remaja merupakan antara kumpulan yang paling berisiko mengalami masalah ini.

Pakar kesihatan juga menekankan bahawa faktor seperti tekanan hidup, masalah kewangan dan ketidakseimbangan kerja serta kehidupan menyumbang kepada peningkatan kes kesihatan mental.

Justeru, kesedaran mengenai kepentingan mendapatkan sokongan mental dan emosi adalah penting.

Ada pelbagai cara untuk menenangkan fikiran dan mengubati jiwa. Jika dengan 'melayan' TikTok boleh 'melegakan' dan melihat video Kakcik Yah dapat mengukir senyuman, kenapa tidak?

Berbalik kepada Khairul Aming dan Kakcik Yah, pilihan antara kedua-dua figura ini bergantung kepada citarasa individu.

Ada yang lebih suka gaya santai dan lucu seperti Kakcik Yah dan ada juga menggemari pendekatan profesional dan inspiratif seperti Khairul Aming.

Apa yang pasti, kedua-duanya berjaya mencipta nama di TikTok dan menjadi sumber hiburan serta inspirasi kepada rakyat Malaysia.

* Asmaliza Mansor ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!