Peniaga harap diberi tapak niaga baharu

Sistem penyuraian trafik di pekan Tapah dilaksanakan bagi memastikan kelancaran kenderaan terutama ketika waktu puncak dan musim perayaan.
Sistem penyuraian trafik di pekan Tapah dilaksanakan bagi memastikan kelancaran kenderaan terutama ketika waktu puncak dan musim perayaan.
A
A
A

TAPAH - [DIKEMAS KINI] Golongan peniaga di pekan Tapah berharap pihak berkuasa dapat menyediakan tapak niaga baharu susulan perubahan aliran trafik satu hala yang dilaksanakan di kawasan itu.

Keputusan tersebut, meskipun membawa manfaat kepada kelancaran lalu lintas, tetapi memberi kesan kepada penjaja dan peniaga kecil yang sebelum ini bergantung kepada kedudukan strategik mereka untuk menarik pelanggan.

Seorang peniaga, Azrul Azmi Yaziz, 41, mengakui perubahan itu memberi kesan terhadap perniagaan mereka, namun tetap positif apabila kerajaan negeri sedia mendengar suara mereka.

“Kita tidak menolak pembangunan sebab kita faham ini untuk kemudahan orang ramai. Cuma kami mengharapkan ada lokasi baharu untuk menempatkan peniaga di sini.

“Harapnya ada berita gembira untuk kami di sebalik pembaharuan laluan yang dilaksanakan ketika ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Tinjauan dilakukan Sinar Harian menunjukkan bahawa perubahan itu mengurangkan waktu perjalanan pengguna jalan raya, terutama pada waktu puncak.
Tinjauan dilakukan Sinar Harian menunjukkan bahawa perubahan itu mengurangkan waktu perjalanan pengguna jalan raya, terutama pada waktu puncak.

Azrul Azmi turut berharap pihak berkuasa dapat mempertimbangkan lokasi yang lebih strategik bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

Katanya, sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah mengadakan pertemuan dengan wakil peniaga dan persatuan bagi mendengar pandangan serta keperluan mereka.

Jelasnya, golongan peniaga di kawasan itu yakin dengan komitmen kerajaan negeri dalam mencari penyelesaian terbaik agar kepentingan semua pihak terjaga tanpa menjejaskan usaha penambahbaikan infrastruktur di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, keputusan pihak berkuasa melakukan penyuraian baharu aliran trafik satu hala di pekan Tapah telah memberi impak positif kepada pengguna jalan raya dan penduduk setempat.

Langkah tersebut dianggap sebagai satu usaha yang berjaya dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan kelancaran pergerakan kenderaan.

Seorang penduduk tempatan, Delu Kuna, 61, berkata, aliran trafik baharu ini menjadikan kenderaan bergerak dalam keadaan lebih teratur tanpa gangguan dari arah bertentangan.

DELU
DELU

Katanya, sebelum ini dia terpaksa menempuh kesesakan agak teruk disebabkan lampu isyarat setiap kali menghantar dan mengambil anak ke sekolah.

"Memanglah pada awalnya, ramai tidak bersetuju (laluan sehala), tetapi apa yang saya nampak, keadaan trafik sekarang lebih lancar berbanding dahulu.

"Mungkin rancangan akan datang, kerajaan boleh bina kemudahan jejambat untuk memudahkan laluan terus ke Bidor dan mereka yang mahu ke pekan Tapah," katanya.

Bagi seorang kakitangan awam, Umi Hanani Zainalabidin, 27, inisiatif penyuraian trafik menjadikan laluan sehala di pekan Tapah membantu mengurangkan kesesakan pada waktu puncak khususnya awal pagi.

UMI HANANI
UMI HANANI

Menurutnya, berbanding sebelum ini, tempoh masa dari rumahnya di Jalan Pahang di sini ke tempat kerja lebih singkat kerana kurang sesak di pekan Tapah.

"Bagi saya trafik di pekan Tapah ini semakin baik dan kurang sesak berbanding dahulu cuma kalau boleh percepatkan sikit kerja-kerja untuk laksana sistem laluan sehala ini.

"Macam saya duduk di Jalan Pahang, nak pergi kerja itu lebih lancar cuma sewaktu pulang itu ambil masa sebab kena pusing jauh sedikit," katanya.

Tinjauan dilakukan Sinar Harian menunjukkan bahawa perubahan itu mengurangkan waktu perjalanan pengguna jalan raya, terutama pada waktu puncak.

Penduduk mengharapkan beberapa penambahbaikan dilakukan pihak terlibat bagi memastikan kelancaran trafik di pekan Tapah.
Penduduk mengharapkan beberapa penambahbaikan dilakukan pihak terlibat bagi memastikan kelancaran trafik di pekan Tapah.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengambil langkah proaktif dengan menambah baik papan tanda arah bagi memastikan pengguna dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dengan mudah.

Dilaporkan sebelum ini, laluan tersebut sering menyebabkan kesesakan di beberapa persimpangan utama kerana jumlah kenderaan yang tinggi perlu melalui jalan yang terhad.

Dengan pengenalan semula laluan baharu di beberapa jalan utama tersebut, pengguna kini mempunyai pilihan laluan, sekali gus mengurangkan titik-titik kesesakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!