Aidilfitri: Aliran trafik lebuh raya utama mula sesak

SHAH ALAM - Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan sesak sejak pagi ini berikutan orang ramai memulakan perjalanan pulang ke kampung menjelang sambutan Aidilfitri.
Setakat jam 12.12 tengah hari, tinjauan laluan menghala ke Pantai Timur, Utara dan Selatan mendapati trafik perlahan ekoran peningkatan jumlah kenderaan.
Berdasarkan kemas kini Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di laman X memaklumkan, trafik perlahan menuju arah Timur di beberapa lokasi.
Di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, trafik perlahan sebelum Plaza Tol Gombak hampir 20 kilometer (km) bermula di KM31.3 hingga KM51.1 ke Lentang.
Keadaan sesak turut dilaporkan berlaku di LPT 1 dari KM77.9 hingga Plaza Tol Karak berikutan pertambahan trafik.
Sementara itu, kemas kini Plus menerusi laman sosial sama memaklumkan, trafik perlahan arah Utara dan Selatan.
Trafik dilaporkan sesak sepanjang 16 km dari Lembah Beringin ke Tanjung Malim ekoran kemalangan di KM401.1 mengakibatkan lorong tengah terhalang.
Selain itu, aliran trafik dilaporkan masih terkawal dari Yong Peng (S) ke Ayer Hitam susulan kemalangan di KM84.7 arah Selatan.
Plus memaklumkan pengaktifan 'smartlane' di KM244 hingga KM248.5 arah Utara dari Pedas Linggi ke Senawang yang mana lorong kecemasan boleh dilalui oleh kenderaan ringan di lokasi berkenaan.
Terdahulu, LLM menjangkakan peningkatan jumlah trafik hingga 2.77 juta kenderaan sehari yang menggunakan lebuh raya utama sempena cuti perayaan Aidilfitri kali ini.
LLM menerusi kenyataan memaklumkan 2.158 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya PLUS, manakala 216,000 di Lebuhraya KL–Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 (156,000), LPT Fasa 2 (70,000) dan 174,000 di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat pada hari puncak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
