Ramadan bulan menguji kesabaran, bukan bulan nak lempang orang

Tular video seorang pengawal keselamatan menerima tamparan seorang pemandu lelaki yang dipercayai berang di sebuah pondok keselamatan.
Tular video seorang pengawal keselamatan menerima tamparan seorang pemandu lelaki yang dipercayai berang di sebuah pondok keselamatan.
A
A
A

SEPANJANG bulan puasa ini, entah kenapa menjadi-jadi pula kes tampar orang. Mula-mula seorang warga emas tampar pemuda bukan Islam hanya kerana dia makan di khalayak ramai di sebuah pasar raya sehinggakan menteri pun tegur sebab tak mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian negara.

Kemudian, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun kena tampar dengan bapa kepada seorang murid di sekolah yang sama.

Tak habis di situ, muncul pula dakwaan seorang wanita ditampar seorang pemandu lelaki selepas berlaku pertengkaran di jalan raya.

Lelaki itu dikatakan memandu secara melulu, menyebabkan wanita berkenaan terpaksa menekan brek secara mengejut untuk mengelak perlanggaran. Tak pasal-pasal kena tampar. Polis masih siasat insiden tersebut.

Terbaharu, tular video seorang pengawal keselamatan menerima tamparan seorang pemandu lelaki yang dipercayai berang di sebuah pondok keselamatan.

Melihat video tersebut, Merak Jalanan kagum dengan ketenangan pengawal keselamatan itu walaupun dia diprovokasi. Nampak dia benar-benar menahan diri selepas ditampar.

Nampaknya selain musim durian, musim bunga, musim hujan dan pelbagai musim lagi, kita juga ada musim melempang orang. Peliknya sebab ia berlaku pada bulan Ramadan yang mulia, bulan menguji kesabaran dan keimanan kita.

Sepatutnya bulan Ramadan mengajar kita bermuhasabah diri, menjaga tingkah laku, sabar menahan nafsu dan sabar menahan lidah ketika marah. Tapi sebaliknya, bulan puasa orang kita jadi baran pula.

Kenapa boleh tahan lapar dan dahaga sepanjang hari tapi tak boleh tahan amarah yang menguasai diri? Pantang tercuit, laju sahaja tangan nak menampar orang.

Artikel Berkaitan:

Kalau rasa nak marah, apa kata tenangkan diri seketika. Tarik nafas dan fikirkan akibatnya nanti jika kita ‘naik hantu’. Jadikan Ramadan ini untuk kita perbaiki diri, amalkan toleransi dan menzahirkan keindahan Islam melalui perbuatan mulia, bukannya kemarahan yang sia-sia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!