Penunggang warga emas maut basikal terbabas

KUALA PILAH - Seorang wanita warga emas maut selepas basikal ditunggang terbabas di Jalan Pekan Juasseh berhadapan sebuah stesen minyak di sini pada Isnin.
Kejadian jam 7 malam itu berlaku ketika mangsa berusia 72 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah dari Klinik Kesihatan Juasseh.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, siasatan mendapati mangsa dikatakan menghala ke rumahnya di Rumah Rakyat Juasseh.
"Namun apabila sampai di tempat kejadian, basikal mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan.
"Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal di lokasi kejadian dan telah dibawa ke Hospital Kuala Pilah untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

