Bulan puasa pun nak pecah tabung surau

SEREMBAN- Ketika orang lain berlumba-lumba mengumpul pahala pada bulan Ramadan, seorang lelaki pula sanggup memecahkan tabung sebuah surau di Kampung Mambau, dalam kejadian Sabtu lalu.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) surau berkenaan, kejadian yang berlaku sekitar jam 7.15 pagi itu menunjukkan suspek memotong mangga pada pagar jeriji besi sebelum mengumpil tabung derma.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya telah menerima satu laporan berhubung kejadian tersebut yang dibuat oleh bilal Surau Al-Muqarrabin.
"Pihak polis menerima satu laporan yang mengatakan surau dipecah masuk dan tabung derma berada dalam keadaan diumpil.
"Semakan pada rakaman CCTV menunjukkan kehadiran seorang lelaki yang tidak dikenal pasti, memakai topi keledar dan jaket berwarna gelap, keluar dari arah belakang surau," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, suspek dipercayai memecah masuk surau dengan memotong kunci pada pintu jeriji besi di sebelah kanan surau menggunakan gerudi.
"Suspek kemudian menggunakan alat untuk mengumpil kunci tabung yang tidak bermangga sebelum memasukkan wang kutipan derma ke dalam sebuah beg," jelasnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, dan usaha memburu suspek sedang giat dilakukan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di 06-6033222 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Hazrat Abdul Rashid, di talian 011-61929004.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

