Apabila gajah pun dah benci dengan sikap kita

KONFLIK antara manusia dan gajah semakin meruncing susulan semakin kerap dilaporkan kejadian haiwan liar itu memasuki kampung, merosakkan tanaman serta mencederakan penduduk.
Terbaharu, insiden gajah naik minyak di Kampung Laloh, Kuala Krai, Kelantan pada 21 Mac lalu mengakibatkan seorang penoreh getah wanita warga emas, Zainab Mat Husin, 63, dan seorang anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Mohd Doral Ibrahim, 40, cedera parah akibat dirodok haiwan berkenaan.
Insiden di Kampung Laloh bukanlah kejadian terpencil. Sebelum ini beberapa serangan gajah turut meragut nyawa penduduk. Antara kes yang menggemparkan termasuklah seorang pekebun, Musa Ahmad, 65, maut dipijak gajah di Hulu Terengganu. Mayatnya ditemukan tidak jauh dari kebunnya (5 Oktober 2024).
Seorang lelaki Orang Asli berusia 65 tahun maut dipijak gajah ketika mencari kayu api di kebun getah di Gerik, Perak (23 Jun 2024). Sebelum itu pada 19 Ogos 2023, seorang remaja Orang Asli berusia 15 tahun maut dipijak gajah di Lipis, Pahang ketika berada di kebun durian.
Di Johor, konflik haiwan itu dengan manusia juga semakin membimbangkan, dengan lebih 100 aduan direkodkan setiap tahun dan kerugian dianggarkan mencecah jutaan ringgit.
Malah, pada 26 Januari lalu, seekor gajah dilaporkan memasuki kawasan perumahan di Taman Seri Impian, Kluang sekitar jam 2.13 pagi.
Menurut Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, pihaknya menerima 3,929 aduan konflik manusia dan gajah bermula 2019 hingga 2023, manakala sejak Januari hingga Jun 2023, sebanyak 655 aduan diterima.
Sebanyak 60 operasi telah dilakukan pihaknya bagi mengatasi konflik dengan haiwan tersebut yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharan Hidupan Liar 2010 (Akta 719) di Semenanjung Malaysia.
Jelas beliau, pembukaan tanah untuk pertanian dan pembangunan yang semakin meluas antara faktor utama konflik itu. Kehilangan habitat semula jadi memaksa gajah mencari makanan di kawasan kampung dan ladang.
Pokok getah, kelapa sawit dan tanaman lain menjadi sumber makanan mudah bagi haiwan tersebut. Namun, situasi itu mengundang risiko kepada penduduk yang berdepan ancaman setiap kali gajah masuk ke kampung mereka.
Perhilitan telah menjalankan pelbagai langkah termasuk program pemindahan gajah liar ke Taman Negara dan melepaskan haiwan itu ke habitat lebih selamat.
Namun, usaha tersebut masih berdepan cabaran besar kerana populasi gajah yang semakin berkurangan dan kawasan hutan semakin mengecil.
Antara langkah jangka pendek termasuk meningkatkan kawalan di kawasan titik panas, menambah anggota Perhilitan dan memindahkan gajah ke lokasi lebih sesuai.
Bagi kawasan yang sangat terdedah dengan ancaman gajah, penggunaan pagar elektrik dan menara pemantauan diperkenalkan bagi menghalang kemasukan gajah ke kawasan penempatan.
Penduduk juga diberikan latihan oleh Perhilitan untuk bertindak dalam situasi kecemasan sekiranya gajah menceroboh kawasan mereka.
Untuk jangka sederhana, pemasangan kolar satelit akan dilaksanakan bagi memantau per-gerakan gajah, selain pembinaan halangan fizikal di Hutan Simpan Kekal bagi mengelak pencerobohan ke kawasan penempatan.
Untuk langkah jangka panjang, kerajaan perlu membangunkan banyak kawasan bank makanan gajah di sempadan koridor gajah bagi menyediakan sumber makanan alternatif dan memperkasakan Pusat Santuari Gajah sebagai pusat pemuliharaan serta ekopelancongan.
Sempena Hari Hutan Antarabangsa yang disambut pada 21 Mac setiap tahun, penting untuk kita menekankan peranan hutan dalam melindungi segala biodiversiti yang ada di dalamnya. Selagi habitat gajah dan haiwan liar lain terus terancam, serangan serta pencerobohan ke kampung akan terus berlaku.
Persoalannya, sampai bila kita mahu melihat tragedi ini berulang? Adakah kita bersedia untuk mencari jalan penyelesaian lebih berkesan sebelum lebih banyak nyawa menjadi korban?
* Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah Penyunting Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
