Gajah jantan 'naik minyak' masih bebas

KUALA KRAI - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menasihatkan penduduk di Kampung Laloh, di sini supaya tidak pergi ke kebun bersendirian atau tangguh sementara susulan gajah liar yang menyerang anggota jabatan terbabit dan penoreh getah pada Khamis lalu masih bebas.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, bagi menjejaki kehadiran gajah liar itu pihaknya telah menempatkan anggota Perhilitan untuk membuat kawalan pada waktu pagi dan malam.

"Sudah tiga hari anggota Perhilitan menjejaki gajah jantan seberat tiga tan itu, namun masih tidak menemui kesan baharu.
"Kemungkinan ia dipercayai sudah masuk semula ke kawasan hutan berhampiran," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail Petra, di sini selepas melawat anggota Perhilitan, Mohd Doral Ibrahim, 40, yang sedang menerima rawatan di sana pada Ahad.
Menurut beliau, selain itu penduduk juga disarankan supaya membersihkan kawasan kebun mereka bagi mengelakkan kemunculan hidupan liar.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang anggota Perhilitan dan penoreh getah mengalami cedera parah apabila seekor gajah 'naik minyak' di Kampung Laloh.
Anggota Perhilitan terbabit dipercayai ditusuk dengan gading manakala penoreh yang merupakan seorang warga emas pula diserang dari belakang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

