Surah Al-Saff jadi pedoman masyarakat bantu OKU

GOMBAK - Surah Al-Saff menjadi pedoman atau contoh bagi masyarakat Islam memahami kepentingan dan tanggungjawab bersama terutama dalam menyokong serta memudahkan urusan golongan orang kurang upaya (OKU).
Ketua Unit Perkhidmatan OKU, Pejabat Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) dan Pensyarah Ekonomi di Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Ruzita Mohd Amin berkata, surah tersebut membuatkan umat Islam belajar mengenai prinsip tolong-menolong sebagai asas membentuk masyarakat yang inklusif.
Beliau yang juga individu berkerusi roda akibat polio sejak kecil menegaskan bahawa al-Quran menekankan perjuangan yang memerlukan kesabaran dan usaha yang berterusan, selari dengan cabaran yang dihadapi oleh golongan OKU.
"Surah Al-Saff mengajar kita tentang kepentingan berjuang untuk sesuatu yang baik, walaupun penuh dengan cabaran dan kesakitan.
“Untuk makluman, ini merupakan kali keempat saya datang ke World #QuranHour dan Alhamdulillah setakat ini memang mudah untuk saya pergi ke program itu.
“Bukan itu sahaja, saya juga nak cakap program hari ini kita juga ada bahasa isyarat yang saya yakin sangat membantu dan mesra OKU," katanya kepada Sinar Harian selepas program World #QuranHour 2025 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM di sini pada Selasa.
Menurut beliau, golongan OKU sering kali dipinggirkan kerana kurangnya kemudahan yang mesra kepada mereka.
Beliau berkata, golongan tersebut bukan tidak mahu berdikari tetapi disebabkan kemudahan yang terbatas menyukarkan mereka untuk berbuat demikian seterusnya hadir ke program atau majlis ilmu.
Dalam pada itu, beliau turut memuji inisiatif program tersebut yang diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah kerana menyediakan saf khas untuk OKU.
"Saya suka bila kita ada ruang untuk OKU, malah ada imam yang juga merupakan seorang OKU. Ini menunjukkan Islam itu sangat inklusif.
“Jadi perkara itu patut dicontohi oleh semua orang, kerana itu memang yang Islam ajar, membantu golongan yang memerlukan termasuk OKU.
"Islam menekankan konsep kesaksamaan. Dalam sejarah, sahabat Rasulullah SAW yang merupakan OKU juga diberi peluang menjadi pemimpin dan imam," jelasnya.
Katanya, stigma terhadap golongan OKU masih tebal dalam masyarakat dan ini perlu diubah dengan pemahaman yang lebih mendalam mengenai ajaran Islam.
Beliau juga berharap, lebih banyak kesedaran akan timbul dalam masyarakat untuk menyokong golongan OKU bukan sekadar dengan bantuan sementara, tetapi dengan penyediaan kemudahan yang berterusan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
