WQH perkukuh naratif pelancongan Islam Malaysia

SHAH ALAM – Program World #QuranHour (WQH) berpotensi memperkukuh naratif pelancongan Islam Malaysia di peringkat global, sekali gus menonjolkan negara sebagai destinasi yang menawarkan pengalaman rohani dan bermakna.
Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan berkata, penganjuran program tahunan itu bukan sekadar penghayatan al-Quran, sebaliknya mengetengahkan nilai-nilai yang dikaji secara mendalam.
“Pengalaman rohani tidak semestinya bermaksud pelancong perlu melakukan aktiviti ibadah semata-mata, tetapi mereka dapat merasai kualiti layanan, kejujuran dan keikhlasan sepanjang berada di Malaysia.
“Saya menggalakkan lebih banyak penggiat industri pelancongan termasuk hotel dan pemandu pelancong untuk bekerjasama bagi membangunkan pakej menarik sempena WQH supaya pelancong bukan hanya menyertai WQH, tetapi turut mendapat pengalaman mengembara sambil menikmati produk pelancongan Islam lain di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan ITC mempromosikan WQH melalui jaringan antarabangsa termasuk agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan capaian lebih meluas.
Selain itu, hebahan turut dilakukan menerusi platform media sosial bagi memastikan pelancong dapat memasukkan program tersebut dalam itinerari perjalanan lebih awal.
“Kami melihat WQH soft power dalam diplomasi budaya dan pelancongan Islam di peringkat global kerana memaparkan Malaysia sebagai negara moden yang mempromosikan Islam sederhana, inklusif dan berteraskan ilmu.
“Selain itu, ia mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat rujukan dalam pelancongan Islam dan gaya hidup Islam menerusi penyertaan global yang secara tidak langsung memperkenalkan Malaysia sebagai negara aktif memartabatkan al-Quran dalam konteks kontemporari.
“Justeru, WQH menjadi platform diplomasi budaya yang memperlihatkan kepimpinan Malaysia melalui nilai dan ilmu,” ujarnya.
Sementara itu, Mohammad Faisal menjelaskan, ITC akan meluaskan standard Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) bagi menjamin ekosistem fasiliti berkualiti, bersih dan mesra Muslim di seluruh Malaysia.
Katanya, pihaknya juga akan memperkasakan pemandu pelancong Muslim-Friendly Tourist Guide (MFTG) sebagai duta warisan bertauliah dalam usaha menyampaikan nilai murni serta identiti Malaysia kepada pelancong antarabangsa.
“Kami komited bantu pemain industri meluaskan sasaran pasaran mereka dengan menyertai pameran perdagangan antarabangsa, misi jualan dan lawatan suai kenal bagi mempromosikan produk inovatif ke peringkat global.
“Usaha perluasan pasaran ini dilakukan khusus demi manfaat ekonomi penggiat industri tempatan dan memberikan keyakinan kepada pelancong,” katanya.
Ringkasan AI
- Program World #QuranHour memperkukuh naratif pelancongan Islam Malaysia di peringkat global
- Penganjuran program mengetengahkan nilai-nilai al-Quran secara mendalam bagi meningkatkan pengalaman rohani pelancong di Malaysia
- Islamic Tourism Centre mempromosikan program melalui jaringan antarabangsa dan media sosial untuk capaian lebih meluas
- WQH dilihat sebagai diplomasi budaya yang mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat rujukan pelancongan Islam
- ITC akan meluaskan standard Muslim-Friendly Tourism and Hospitality serta memperkasakan pemandu pelancong bertauliah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

