Umat Islam perlu bangkit, faham al-Quran - Hussamuddin

SHAH ALAM - Setiap umat Islam perlu bangkit menjadikan World #QuranHour sebagai sebuah gagasan atau gelombang besar bukan sahaja di negara malah peringkat dunia.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, menerusi gelombang itu diharapkan orang ramai sedar kepentingan membaca al-Quran, berinteraksi, memahami dan mengamalkan ajarannya dan seterusnya membentuk mindset serta operating system berasaskan kitab suci itu.
Menurutnya, tanpa kesedaran itu, umat Islam akan terus berpecah, keliru dan mudah dipergunakan oleh pelbagai pihak.
"Di awal penganjuran, komitmen dan sokongan yang kami terima amat luar biasa. Maknanya kita berjaya gerakan dan saya rasa tahun pertama hampir 70 negara terlibat.
"Kami dapat sokongan daripada kerajaan masa itu. Wisma Putra gerakkan jaringannya di seluruh dunia untuk mengadakan World #QuranHour serentak dengan kami.
"Bagaimanapun perkara tersebut dilihat semakin perlahan dan kita harapkan semua pihak dapat bergabung untuk kembalikan gelombang tersebut," katanya.

Tambah Hussamuddin, mulai tahun ini gelombang boleh dihidupkan semula dengan menjalankan kempen secara serentak menggunakan naratif sama bukannya berbeza.
"Kita buat kerana ALLAH, kita kena selamatkan anak cucu. Perubahan mesti bermula dari diri sendiri dan gunakan segala kekuatan yang ada untuk mengubah persekitaran.
"Kita kena bertanggungjawab kembalikan kekuatan dan momentum World #QuranHour, naikkan semula kesedaran orang ramai supaya sekurang-kurangnya mereka membaca al-Quran sejam satu hari. Sama-sama kita berhenti sekejap untuk berikteraksi dengan al-Quran.
"Dulu seluruh dunia buat serentak tetapi sekarang macam tidak banyak sangat. Jadi, ini tanggungjawab kita," jelasnya.
Ringkasan AI
- SHAH ALAM - Setiap umat Islam digalakkan menjadikan World #QuranHour sebagai gelombang besar global
- Datuk Hussamuddin Yaacub mahu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membaca dan mengamalkan ajaran al-Quran
- Tanpa kesedaran ini, umat Islam berisiko berpecah dan keliru
- World #QuranHour pernah mendapat sokongan luas termasuk dari kerajaan dan Wisma Putra
- Hussamuddin menyeru untuk menghidupkan semula gelombang #QuranHour melalui kempen serentak dengan naratif yang sama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

