'Laksamana' serikan World #QuranHour 2025

Radzi yang lengkap berpakaian seperti laksamana hadir ke program World #QuranHour pada Selasa.
Radzi yang lengkap berpakaian seperti laksamana hadir ke program World #QuranHour pada Selasa.
A
A
A

GOMBAK – Pemakaian busana tradisional Melayu bukan sekadar simbol budaya, tetapi turut mencerminkan nilai peradaban yang tinggi, terutama apabila dikenakan dalam acara berprestij seperti World #QuranHour 2025 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Penulis buku dan aktivis peradaban, Radzi Sapiee, 55, yang hadir lengkap berpakaian seperti laksamana Melayu berkata, usaha memartabatkan pakaian tradisional ini telah diperjuangkannya sejak 13 tahun lalu.

“Ini bukan kali pertama saya menghadiri program ini, dan setiap kali hadir, saya pasti mengenakan pakaian seperti laksamana.

“Sebenarnya, bukan sekadar minat, tetapi saya juga berketurunan laksamana Perak. Justeru, saya memperjuangkan peradaban serta pemakaian busana tradisional,” katanya pada Selasa.

Menurutnya, masih ramai dalam kalangan orang Melayu sendiri yang memandang rendah terhadap pemakaian busana tradisional dan lebih cenderung memilih pakaian moden seperti kot.

“Minda masyarakat hari ini lebih melihat pakaian Barat sebagai simbol kemodenan, sedangkan dahulu, baju Melayu lengkap dipakai oleh semua lapisan masyarakat, termasuk para ilmuwan,” jelasnya.

Radzi yang pernah menuntut di University College London berkata, pada awalnya beliau lebih cenderung kepada budaya Barat, namun lama-kelamaan menyedari kepentingan menghidupkan warisan bangsa.

“Darah keturunan memanggil saya kembali kepada akar budaya sendiri dan menyedarkan bahawa nenek moyang kita bukan sekadar memakai busana ini, tetapi mereka juga hebat dalam strategi dan ilmu.

"Jika kita sendiri tidak menghargai pakaian dan budaya kita, siapa lagi yang akan mempertahankannya?" ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh kepentingan program World #QuranHour, Radzi menegaskan bahawa program tersebut tidak pernah gagal dalam menyatukan umat Islam serta menyebarkan nilai al-Quran dalam kehidupan seharian.

Menurutnya, tema yang diangkat dalam program kali ini sangat bertepatan dengan keadaan dunia Islam yang sedang berdepan dengan pelbagai cabaran, khususnya isu di Gaza, Palestin.

“Surah al-Saff mengajar kita tentang pentingnya penyusunan yang teratur dalam perjuangan. Umat Islam perlu bersatu dan membentuk saf yang kukuh bagi menghadapi cabaran zaman ini.

“Seperti yang berlaku di Gaza, surah ini memberi panduan kepada umat Islam untuk memahami kesukaran serta cabaran yang dihadapi saudara seagama kita di sana,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!