Sambutan luar biasa World #QuranHour di Masjid Kadok

KOTA BHARU - World #QuranHour di Masjid Mukim Kadok di sini pada Selasa mendapat sambutan luar biasa apabila menghimpunkan 300 peserta, meskipun pertama kali diadakan tahun ini.
Imam Tua Masjid Mukim Kadok, Abdullah Zuhdi Ismail berkata, peserta terdiri daripada penduduk sekitar serta pelajar sekolah menengah agama dan kebangsaan berusia antara 17 hingga 70 tahun.

“Kami tidak menyangka sambutan sangat baik, menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan membaca dan menghayati al-Quran semakin meningkat.
“Tahun depan kami akan teruskan program ini bagi memberi manfaat lebih besar kepada komuniti,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Pengarah World #QuranHour negeri Kelantan, Aziah Zawawi atas usaha keras beliau dalam menguruskan serta menjayakan program itu.

Menurutnya, Masjid Kadok menjadi lokasi kedua bagi World #QuranHour dan program itu berlangsung secara serentak dengan Madinah Ramadan.
Sementara itu, Pengusaha Rumah Ngaji Sayyidatina Aisyah Umra, Hamidah Che Mamat berkata, penganjuran di Masjid Mahmudi, Kangkong, Pasir Mas memasuki tahun kedua dan lebih meriah serta teratur berbanding tahun lalu.
“Kami menyediakan pengajian al-Quran secara percuma setiap Ahad hingga Rabu, dari jam 9.30 hingga 11.30 pagi di masjid dengan kehadiran paling ramai seramai 60 orang.
“Selain itu, kami juga memulakan tadabbur satu muka sehari secara dalam talian sejak 21 Mac lalu bermula jam 4 pagi menerusi dan disambung pada 7 pagi,” ujarnya.
Beliau berkata, sasaran pihaknya adalah untuk menghabiskan 30 juzuk sepanjang program itu dan akan meneruskannya walaupun selepas Ramadan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

