60 peratus anak muda sertai World #QuranHour Negeri Sembilan

Zaifulbahri (tengah) mengalunkan bacaan surah al-Fatihah sebelum sesi bacaan surah Al-Saff dan tadabbur dimulakan. Gambar kecil dari kiri: Luqman, Gharizah, Iman Muhammad
Zaifulbahri (tengah) mengalunkan bacaan surah al-Fatihah sebelum sesi bacaan surah Al-Saff dan tadabbur dimulakan. Gambar kecil dari kiri: Luqman, Gharizah, Iman Muhammad
A
A
A

REMBAU - Sasaran menarik golongan muda menyertai World #QuranHour peringkat Negeri Sembilan tercapai selepas hampir 60 peratus daripada peserta program terdiri daripada kumpulan itu.

Program yang berlangsung tepat jam 12 tengah hari di Masjid Jamek An-Nur di sini pada Selasa dihadiri lebih 1,000 peserta terdiri daripada wakil setiap agensi kerajaan, pelajar sekolah serta komuniti setempat.

Timbalan Pegawai Agama Islam Daerah (PAID) Rembau, Luqman Mohd Zaki berkata, penyertaan anak muda ini dapat melahirkan satu generasi baharu yang melazimkan diri dalam majlis ilmu seperti tadabbur al-Quran.

Peserta yang hadir World #QuranHour peringkat Negeri Sembilan di Masjid Jamek An-Nur Rembau pada Selasa.
Peserta yang hadir World #QuranHour peringkat Negeri Sembilan di Masjid Jamek An-Nur Rembau pada Selasa.

"Penyertaan ramai pelajar sekolah ini dapat memberikan pendedahan kepada mereka mengenai World #QuranHour dan kepentingan membaca al-Quran setiap hari walaupun sedikit.

"Selain daripada acara tahunan ini, kita sendiri mengadakan acara berbentuk bulanan walaupun dalam skala kecil tetapi sering kali dikemas kini untuk anak muda turut serta mendekati al-Quran," katanya selepas program.

Hadir pada program itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris; Penyelaras Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim dan Imam Jamek Masjid An-Nur, Iman Muhammad Kaharuddin.

Program yang berlangsung pada Selasa itu dipimpin oleh Johan Qari Majlis Tilawah & Hafazan al-Quran Negeri Sembilan 2025, Abdul Hanis Mohd Daud selaku pembaca surah, manakala sesi tadabbur dikendalikan oleh Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Arif Musa.

Untuk rekod, sudah sedekad Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) melaksanakan program berinteraksi dengan al-Quran melalui kempen baca, faham dan amal.

Artikel Berkaitan:

Peserta yang hadir World #QuranHour peringkat Negeri Sembilan di Masjid Jamek An-Nur Rembau pada Selasa.
Peserta yang hadir World #QuranHour peringkat Negeri Sembilan di Masjid Jamek An-Nur Rembau pada Selasa.

Program diadakan serentak mengikut negeri dengan acara utama berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, membawa misi besar berpandukan Surah al-Saff dengan tema #SavingTheUmmah.

Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Program World #QuranHour utama diiringi oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Luqman berkata, penganjur masih konsisten untuk sentiasa mengadakan kempen mengajak masyarakat, khususnya anak muda, menyertai majlis-majlis al-Quran.

"Menghayati al-Quran penting sebagai panduan mendepani cabaran semasa tanpa batas, terutama pengaruh media sosial agar anak muda mempunyai jati diri tinggi sebagai pemimpin masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Gharizah berkata, melalui siri jelajah saban tahun di setiap daerah, terdapat peningkatan penyertaan dalam kalangan masyarakat yang berinteraksi dengan al-Quran.

"Tahun ini membawa Surah al-Saff yang memfokuskan kepada memperkukuh perpaduan ummah. Ini yang diharapkan melalui peranan semua pihak, daripada Rumah Ngaji, badan bukan kerajaan serta masjid, yang bersatu padu menggerakkan gelombang al-Quran memperkukuh saf seperti sebuah binaan kukuh.

"Untuk program akan datang, kita akan terus mendekati anak muda dengan bekerjasama dengan lebih ramai pihak termasuk penggerak dan kelab belia serta Pejabat Pembangunan Belia & Sukan Negeri Sembilan agar World #QuranHour dapat terus diperluaskan ke semua lapisan golongan muda," katanya.

Bagi Iman Muhammad, pihak masjid berbesar hati kerana dipilih sebagai penganjur World #QuranHour Negeri Sembilan sempena ulang tahun sedekad program ini.

Ujarnya, selain program tersebut, pihak masjid sendiri mempunyai perancangan jangka panjang untuk membawa anak muda mendekati masjid dan al-Quran.

Selain program ilmu dan ibadah, beberapa aktiviti turut diatur bersesuaian dengan minat anak muda seperti sukan, terutama e-sukan, serta pendekatan melalui platform media sosial.

Tambah beliau, adalah penting untuk mewujudkan hubungan baik dengan kumpulan muda bagi mendekati masjid dan program agama ke arah melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang berpandukan al-Quran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!