Peranan pentadabbur mudahkan masyarakat fahami mesej al-Quran

GOMBAK - Program World #QuranHour 2025 memberi ruang kepada masyarakat mendekati al-Quran dan memahami mesej yang terkandung di dalamnya menerusi peranan pentadabbur yang menyampaikan intipati ayat secara mudah dan ringkas.
Pensyarah Jabatan Pengajian al-Quran dan Sunnah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Husaini Jamil berkata, berbanding tafsir yang bersifat lebih akademik dan mendalam, pendekatan tadabbur lebih dekat dengan masyarakat kerana penyampaiannya mudah difahami.
“Ini merupakan pengalaman pertama buat saya sebagai pentadabbur kerana sebelum ini saya hanya hadir sebagai peserta.
“Peranan pentadabbur ini penting kerana ia membantu menyampaikan makna-makna al-Quran dalam bentuk pelajaran yang mudah difahami dan diringkaskan,” katanya kepada Sinar Harian selepas program berkenaan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, program seperti itu memberi impak besar kepada masyarakat kerana ia bukan sahaja memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran tetapi turut menyampaikan mesej-mesej penting yang terkandung di dalamnya.
"Contohnya dalam konteks ‘Saving The Ummah’, Surah Al-Saff yang dibaca dalam program ini membawa mesej bagaimana kita sebagai masyarakat boleh menjadi lebih tersusun, berdisiplin dan meraikan kepelbagaian.
"Jadi, kita boleh wujudkan perpaduan dan kebersamaan untuk menyelamatkan umat kerana secara realitinya masyarakat Malaysia berbeza-beza. Dari situ, kita belajar di mana tahap toleransi yang boleh dicapai untuk kebaikan bersama," ujar Khairil.
Tambahnya, program seperti itu wajar diteruskan kerana mampu membuka ruang kepada masyarakat untuk lebih dekat dan memahami al-Quran.
"Dalam kesibukan urusan harian, program ini sekurang-kurangnya menjentik hati masyarakat untuk mula menjenguk pintu-pintu memahami mesej-mesej al-Quran.
"Secara tidak langsung, ia akan membuka lebih banyak peluang di masa hadapan untuk masyarakat mendalami al-Quran dan menjadikan kitab suci itu sebagai panduan dalam menyusun kehidupan yang lebih baik," katanya.
Seorang lagi pentadabbur, Fazrul Ismail berkongsi, penganjuran program itu berjaya memperlihatkan kerjasama erat antara institusi akademik dan masyarakat dalam mengangkat nilai al-Quran ke tahap lebih tinggi.
“Penglibatan UIAM menerusi penyertaan pelajar dan kakitangan membuktikan kejayaan besar program itu dalam usaha menyebarkan mesej al-Quran kepada masyarakat.
“Setiap tahun kita belajar dan bincang kandungan al-Quran, khususnya Surah Al-Saff kali ini. Harapan kita agar program itu terus menjadi ruang untuk masyarakat memahami isi kandungan al-Quran dengan lebih dekat," katanya.
Mengulas intipati utama Surah Al-Saff yang dibincangkan, beliau berkata, mesej terpenting yang perlu disampaikan kepada masyarakat ialah keutamaan untuk bersatu demi kejayaan di dunia dan akhirat.
"Surah ini jelas menyatakan bahawa bersatu itu penting kerana ia menjadi asas untuk ALLAH memberi bantuan dan kejayaan.
“Jika manusia memahami nasihat daripada Tuhan yang menciptakan mereka, maka masyarakat akan jadi baik," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
