Warga Parlimen Malaysia hayati tadabbur surah al-Saff

Mohd Sujairi (duduk, kiri) dan Mohd Nizam bersama peserta World #QuranHour di Parlimen Malaysia.
Mohd Sujairi (duduk, kiri) dan Mohd Nizam bersama peserta World #QuranHour di Parlimen Malaysia.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Surah al-Saff menekankan kepentingan keselarasan antara perkataan dan perbuatan serta menyeru umat Islam untuk berjihad di jalan ALLAH dengan barisan yang tersusun rapi, seperti bangunan yang kukuh.

Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mohd Nizam Termizi Al-Hafiz, selaku qari dan pentadabbur berkata demikian dalam sesi tadabbur pada program World #QuranHour di Surau Blok Pentadbiran dan Ahli Parlimen, Parlimen Malaysia, Jalan Parlimen, di sini pada Jumaat.

Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini dianjurkan oleh Parlimen Malaysia melalui Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Sukan Parlimen Malaysia serta Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).

Kata beliau, surah al-Saff menekankan kepentingan hubungan dengan ALLAH.

"Semua makhluk bertasbih kepada-Nya, dan amalan tasbih dapat menghapuskan dosa.

“Hati yang lalai boleh menjerumuskan seseorang kepada perkara sia-sia. Oleh itu, menghidupkan malam lailatulqadar dengan ibadah seperti solat, bertasbih dan bacaan al-Quran adalah lebih baik daripada seribu bulan, bersamaan 83 tahun.

“Dalam konteks perjuangan, orang beriman yang berdiri dalam saf yang rapat akan menjadikan umat Islam kuat, seperti pejuang Palestin yang menjaga saf mereka sehingga menjadi bangunan yang kukuh,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Projek merangkap Pustakawan Parlimen Malaysia, Norhasliza Mohd Razali berkata, seramai 85 warga kerja menyertai program World #QuranHour dan Majlis Khatam al-Quran sempena Ramadan serta kempen Jom Membaca Bersama pada bulan ini.

“Inisiatif penganjuran World #QuranHour bagi Ramadan bertujuan menyokong gerakan bacaan al-Quran secara serentak dan memperkukuh hubungan warga Parlimen dengan Kitab Suci tersebut.

“Surah al-Saff membawa mesej penting mengenai kesatuan dan kesaksamaan ummah. Pendekatan al-Quran dapat dijadikan panduan kehidupan apabila kita memahami isi kandungannya melalui sesi tadabbur,” ujarnya yang berharap #QuranHour terus dilaksanakan pada masa akan datang.

Turut hadir, Setiausaha Dewan Negara, Mohd Sujairi Abdullah.

Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai World #QuranHour di lokasi perdana, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak atau di lokasi masing-masing dengan mendaftar di https://quranhour.onpay.my/order/form/wqh2025.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!