Surah Al-Saff cerminan perjuangan rakyat Palestin

SITIAWAN - Pemilihan Surah Al-Saff dalam program World #QuranHour dilihat bertepatan dengan semangat perjuangan rakyat Palestin mempertahankan tanah air serta menegakkan agama ALLAH dengan penuh disiplin dan keteguhan iman.
Timbalan Mudir Pondok Hidayatullah, Abu Bakar Omar berkata, pemilihan surah tersebut bukan sekadar mengajak umat Islam memahami ayat-ayat suci al-Quran, malah mengingatkan mereka tentang kepentingan kesatuan dan disiplin dalam memperjuangkan kebenaran.
Menurutnya, disebabkan disiplin yang ditunjukkan oleh pasukan pejuang Palestin itu menyebabkan mereka sukar ditewaskan oleh tentera Israel.

“Surah Al-Saff mengajar kita tentang kepentingan saf yang tersusun dalam solat dan dalam perjuangan menegakkan Islam. Ia berkaitan dengan disiplin yang diperlukan termasuk dalam bulan Ramadan, di mana kita diajar untuk menepati waktu sahur dan berbuka.
“Begitu juga dalam perjuangan rakyat Palestin, khususnya Briged Al-Qassam, yang terkenal dengan disiplin mereka. Mereka memilih pejuang yang bangun tahajud, menghafal al-Quran dan menjaga kesatuan saf mereka,” katanya sempena program World #QuranHour anjuran Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh bersama Pondok Hidayatullah, Tanjung Kepah, Batu 8, Lekir di sini pada Rabu.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Saff bersama semua peserta diikuti tadabbur yang disampaikan oleh Abu Bakar.
Sementara itu, penggerak Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie berkata, program World #QuranHour yang diadakan di Pondok Hidayatullah buat pertama kalinya itu menghimpunkan lebih 120 peserta, termasuk 80 pelajar pondok dan wakil dari Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh.
Katanya, pemilihan institusi pondok tersebut sebagai lokasi penganjuran bertujuan mengeratkan hubungan antara masyarakat dan para pelajar tahfiz.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

