World #QuranHour semarakkan minat anak muda hayati al-Quran

Mohd Sofiyuddin (tiga dari kiri) selepas program World #QuranHour 2025 yang diadakan di Masjid Al-Wathiqu Billah.
Mohd Sofiyuddin (tiga dari kiri) selepas program World #QuranHour 2025 yang diadakan di Masjid Al-Wathiqu Billah.
A
A
A

KUALA NERUS - Program World #QuranHour berjaya menarik minat masyarakat, khususnya golongan muda, untuk mendalami al-Quran serta menghayati makna ayat-ayat dalam Surah al-Saff.

Pengerusi Masjid Al-Wathiqu Billah, Mohd Sofiyuddin Yussof berkata, program ini berjaya menghimpunkan lebih 1,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk kakitangan agensi kerajaan, komuniti setempat dan pelajar.

"Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan menggalakkan, terutama daripada golongan muda. Ia satu perkembangan yang sangat baik kerana dapat menarik minat mereka untuk membaca dan memahami al-Quran.

"Surah al-Saff dipilih kerana mesejnya yang sangat bermakna, menyeru umat Islam agar bersatu dalam membina kekuatan dan daya saing. Penghayatan terhadap surah ini diharap dapat memupuk kesedaran untuk menerapkan nilai tersebut dalam kehidupan seharian," katanya kepada Sinar Harian selepas program World #QuranHour 2025 yang diadakan di Masjid Al-Wathiqu Billah.

Lebih 1,000 peserta menghadiri program World #QuranHour 2025 yang diadakan di Masjid Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus.
Lebih 1,000 peserta menghadiri program World #QuranHour 2025 yang diadakan di Masjid Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ahmad Azizi Zulkifli.

Menurut Mohd Sofiyuddin, program itu bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk menghayati al-Quran, malah mereka turut dibimbing untuk memahami maknanya melalui sesi tadabbur.

"Selain membaca al-Quran, masyarakat juga dididik untuk memahami maksud ayat-ayatnya dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Ini penting, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

"Kita turut melakukan sedikit kelainan dalam program kali ini dengan menyampaikan tazkirah ringkas sebelum sesi pembacaan dan tadabbur al-Quran. Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan, sekali gus menghidupkan suasana 10 malam terakhir Ramadan dengan lebih bermakna," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!