11.4 tan lebihan makanan diselamatkan kurangkan pelepasan karbon

Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd
Sharif meluangkan masa meninjau pelaksanaan inisiatif Sifar Sisa di bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampong Bharu pada malam Isnin. Foto: DBKL
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif meluangkan masa meninjau pelaksanaan inisiatif Sifar Sisa di bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampong Bharu pada malam Isnin. Foto: DBKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 11,482.89 kilogram (kg) lebihan makanan berjaya diselamatkan menerusi program MySaveFood di bawah inisiatif Sifar Sisa di Bazar Ramadan 2025, dengan anggaran nilai RM139,576.69.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, usaha itu turut menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dioksida (CO₂) sebanyak 21,532.28kg.

"Program ini dilaksanakan dari 5 hingga 26 Mac 2025 di 12 lokasi bazar Ramadan sekitar Kuala Lumpur, termasuk di Jalan Wangsa Delima, Sri Rampai; Jalan 3/27A Seksyen 1; Bazar TLK Taman Tasik Permaisuri dan Bazar TLK hadapan UTC Sentul.

"Selain itu, ia turut dilaksanakan di Bazar Pusat Penjaja Bazaria Pantai; Kampong Bharu (Jalan Raja Alang dan Jalan Raja Uda); Jalan Dato Senu 18; Danau Kota (Jalan 3A/6, 4A/6 dan 5A/6) serta Jalan 1/76C dan 3/76D di Desa Pandan," menurut kenyataan DBKL pada Selasa.

DBKL turut memaklumkan bahawa sebanyak 11,990kg sisa makanan telah dihantar ke pusat pengomposan, manakala 24,061kg sisa bukan makanan berjaya dikitar semula menerusi program Pengasingan Sisa Makanan di bawah inisiatif yang sama.

Program ini melibatkan kerjasama para peniaga dan Alam Flora Sdn. Bhd. bagi memastikan sisa makanan dapat diasingkan dan dikitar semula dengan lebih berkesan.

"Objektif utama program ini adalah mengurangkan jumlah sisa organik yang dihantar ke tapak pelupusan, selaras dengan matlamat DBKL untuk mencapai sifar sisa menjelang 2040.

"Hasil pelaksanaan inisiatif ini setakat ini menunjukkan pencapaian memberangsangkan. Ia bukan sahaja mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, malah menyumbang kepada pembentukan bandar raya yang lebih hijau, bersih dan mampan," menurut kenyataan itu.

DBKL turut menyasarkan penyelamatan sekurang-kurangnya 10,000kg lebihan makanan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan, sekali gus membantu mereka yang kurang berkemampuan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!